Kedah juga mahu wujud sekolah sukan bertaraf nasional

Kedah juga mahu wujud sekolah sukan bertaraf nasional

Cadangan ini bukan bermaksud membina sekolah baru sebaliknya menaik taraf sekolah sedia ada kepada sekolah sukan bertaraf nasional

Mahdzir-Khalid_kedah_ssm_600
KULIM:
Kementerian Pendidikan berhasrat mewujudkan sekolah sukan Malaysia di Kedah bagi kawasan utara untuk meningkatkan mutu sukan dan merealisasikan agenda pembentukan negara sukan.

Bernama memetik Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, setakat ini terdapat 5 buah sekolah sukan nasional iaitu di Bukit Jalil, Johor, Terengganu, Pahang dan Sabah.

“Bagi kawasan utara, belum ada melainkan sekolah sukan negeri.

“Kementerian bercadang mewujudkan sebuah sekolah sukan bertaraf nasional di kawasan utara dan kami cadangkan di Kedah.”

Menurut Mahdzir, cadangan ini bukan bermaksud membina sekolah baru sebaliknya menaik taraf sekolah sedia ada kepada sekolah sukan bertaraf nasional.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran program pembangunan sukan tenis negara 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Jelutong hari ini.

Menurut Mahdzir lagi, kementerian akan meneliti beberapa aspek dan menilai sekolah yang berpotensi sebelum melaksanakan cadangan itu.

“Kita belum tentukan sekolah mana, kita akan tunggu laporan, bajet dan lokasi, kemudian barulah ditentukan mengenainya,” katanya.

Sebelum ini, FMT pernah melaporkan hasrat kerajaan negeri Terengganu untuk membina universiti sukan pertama di Besut.

Hasrat itu disambut baik oleh Kementerian Belia dan Sukan dan akan diusulkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.