PKR dakwa kerajaan tak serius bendung isu dadah

PKR dakwa kerajaan tak serius bendung isu dadah

Peningkatan 30,847 kes berbanding 26,668 kes pada 2015 seperti dinyatakan oleh Masir sebenarnya berpunca daripada sikap tidak serius kerajaan dalam membendung masalah ini

Manivanan-Gowin_drug_dadah_600
PETALING JAYA:
PKR mendakwa peningkatan kes penagihan dadah pada tahun lalu menunjukkan kerajaan pusat tidak serius dalam membendung isu tersebut.

Ahli Parlimen Kapar Manivanan Gowin berkata kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Kujat berhubung peningkatan 14% kes penagihan dadah di Malaysia pada tahun lalu menunjukkan kerajaan tidak serius menangani isu ini.

“Peningkatan 30,847 kes berbanding 26,668 kes pada 2015 seperti dinyatakan oleh Masir sebenarnya berpunca daripada sikap tidak serius kerajaan dalam membendung masalah ini.

“Ia membimbangkan dan wajar diberi perhatian yang serius,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu beliau menggesa agar kawalan sempadan diperketatkan bagi memastikan bekalan dadah dari negara jiran tidak dibawa masuk dengan mudah ke Malaysia.

Hasil semakan beliau mendapati usaha untuk menangani penagihan dadah pernah menunjukkan hasil yang baik di antara tahun 2010 hingga 2012, namun ia kembali mencatatkan peningkatan membimbangkan kebelakangan ini.

Manivanan juga mendesak agar kerajaan memperbanyakkan kempen kesedaran mengenai bahaya dadah kepada golongan berisiko tinggi seperti pelajar sekolah, remaja dan belia luar bandar.

Malah agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, pihak polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga perlu memainkan peranan proaktif dalam membendung isu yang berlarutan ini.

“Saya menggesa kerajaan mengemukakan laporan penilaian terhadap program Perintis Rawatan Terapi Gantian (RTG) menggunakan methadone yang dimulakan sejak November 2007.

“Selepas banyak wang dilaburkan, kita ingin tahu adakah terapi methadone ini dapat mengurangkan serta menghapuskan penggunaan dadah berbahaya, efektif dari segi kos dan berjaya mengurangkan jenayah di kalangan penagih?”

Beliau juga menggesa kementerian berkaitan dapat mengemukakan laporan terperinci berkaitan masalah ini di Parlimen.

“Kita mahu tahu butir lengkap seperti ketegori umur penagih, punca penagihan dan maklumat lain yang boleh diteliti dan dibahas di Parlimen.

“Mengapa kes penagihan dadah tiba-tiba meningkat sehingga usaha menjadikan Malaysia bebas dadah pada tahun 2015 gagal dan terbantut?” soal Manivanan.

Manivanan juga percaya masalah berkaitan dadah menjadi punca kepada kes jenayah lain seperti pembunuhan, rompakan dan ragut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.