
Setiausaha Agung Kehormat HBA, Chang Kim Loong berkata tindakan itu telah membelakangkan kepentingan para pembeli.
Bercakap kepada FMT, Kim Loong berkata, tindakan Rahman membenarkan lanjutan tempoh adalah tidak rasional kerana ia menafikan hak pembeli untuk mendapatkan pampasan ganti rugi tetap (LAD).
“Kesan lanjutan tempoh, pemaju tidak perlu membayar pampasan ataupun LAD kepada pembeli rumah selepas projek selesai dan kunci rumah diserahkan,” kata beliau hari ini.
“Sangat jelas satu-satunya sebab membenarkan lanjutan tempoh adalah untuk menyelamatkan wang di pihak pemaju.”
Beliau berkata nasib pembeli rumah seharusnya dipertimbangkan sebelum menteri membuat keputusan sedemikian.
“Adakah mereka (kementerian) tahu yang pembeli juga berhadapan dengan kesukaran dan komitmen seperti perlu membayar sewa dan perlu terus menjelaskan pinjaman mereka? Mereka juga berhadapan dengan kos tambahan dan perbelanjaan jika berlaku kelewatan.”
Justeru katanya, selaku ahli perniagaan mereka harus bersedia untuk memikul risiko dan bukannya mendapatkan perlindungan kerajaan agar tidak mengalami kerugian.
Dalam responsnya semalam, Rahman berkata membenarkan lanjutan tarikh penyerahan sebuah projek kondominium berada dalam bidang kuasa kementerian kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan.
Rahman berkata bekas kementeriannya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan penting Mahkamah Tinggi itu.
Rahman berkhidmat sebagai menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan dari Mei 2013 hingga Jun 2016. Menterinya pada masa ini ialah Tan Sri Noh Omar.
Menurut beliau, lanjutan tarikh penyerahan hanya diberikan selepas pemeriksaan ketat dibuat kementerian terhadap projek berkenaan dan jika pemaju berdepan kelewatan akibat keadaan di luar kawalannya, termasuk banjir, peraturan baharu oleh pihak berkuasa seperti arahan henti atau dasar kepada bekalan bahan pembinaan dan pekerja.
Katanya, tanggungjawab menteri untuk semua pihak, termasuk pembekal bahan mentah, institusi kewangan, pemaju dan pembeli.
Kim Loong menegaskan, kerajaan tidak harus cuba untuk menyelamatkan pemaju dari segi kewangan dengan mengorbankan para pembeli yang tidak bersalah, dan dengan mengeluarkan arahan lanjutan tempoh menteri, telah membolehkan pihak pemaju menjimatkan wang yang sepatutnya dibayar kepada pembeli.
“Adakah negara kita kini berhadapan dengan krisis ekonomi yang mana menteri mesti mengeluarkan lanjutan tempoh kepada pemaju yang (kononnya) berada dalam kesusahan dan berhadapan dengan ancaman akan abaikan projek mereka?”
“Adakah ini bermakna menteri akan memberikan lanjutan tempoh kepada setiap projek mewah untuk menyambung tempoh (pembinaan)?”
Kim Loong juga berkata, kerajaan seharusnya menyerahkan kepada pembeli untuk berunding dengan pemaju bagi mencapai kompromi yang adil, bukannya menteri membuat secara unilateral.
“Lagipun, pembeli adalah pihak yang terlibat dalam kontrak sedangkan menteri bukan pihak dalam kontrak.”
Malah menurut Kim Loong, pihak Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda) sendiri menyokong keputusan Mahkamah Tinggi tempoh hari.
Kim Loong juga mempersoalkan sama ada bilangan projek terbengkalai telah dapat dikurangkan dengan pemberian lanjutan tempoh dalam tempoh tiga tahun yang lalu.
“Kami tidak pernah mendengar lanjutan tempoh telah dikeluarkan di bawah menteri perumahan sebelum ini,” kata beliau.