
Ketua Polis IPD Timur Laut Pulau Pinang berkata polis juga mengambil masa mendapatkan tarikh temujanji yang sesuai untuk merakam percakapan Guan Eng selepas diarahkan timbalan pendakwa raya pada 30 Disember 2013.
“Pegawai penyiasat menghubungi Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang sebanyak 5 kali bagi mendapatkan tarikh temujanji menerusi setiausaha ketua menteri.
“Pegawai penyiasat tidak ada dihubungi oleh kakitangan pejabat ketua menteri selepas itu sehinggalah tarikh 2 Mac 2017 ditetapkan untuk dirakam sambungan percakapan,” kata ACP Mior Faridalathrash Wahid dalam kenyataan hari ini.
Pada 2 Mac lepas, The Malay Mail Online melaporkan Guan Eng mempersoalkan mengapa beliau ditanya sama ada mahu meneruskan kes itu 6 tahun selepas laporan polis dibuat.
Pada 19 Januari 2011 dan 12 Januari 2012, Guan Eng membuat laporan polis terhadap blog yang mendakwa anak lelakinya mencabul kehormatan seorang pelajar sekolah dan Guan Eng membayar M200,000 kepada perempuan itu supaya berita tidak disebarkan.
Ketua menteri Pulau Pinang itu ditemui polis di pejabatnya di Komtar pada 9.30 pagi Khamis, selama 20 minit bersama pegawai undang-undangnya Raja Syarafina Raja Shuib.
Guan Eng berkata pertemuan itu merupakan kali ke-3 keterangannya diambil dan membidas sikap acuh tak acuh Jabatan Peguam Negara dalam kes ini dan menegaskan beliau mahu meneruskan kes itu.
“Dakwaan ketua menteri Pulau Pinang atas kelewatan dalam menjalankan siasatan adalah tidak tepat,” kata Mior.
Beliau menjelaskan polis mengambil masa menganalisis bahan bukti yang diperoleh menerusi media sosial, peralatan dan keterangan sokongan bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan kedua-dua kes dijalankan dengan merakam percakapan 38 orang saksi dan mendapatkan laporan analisis bahan bukti daripada penyedia perkhidmatan laman web di Amerika Syarikat, forensik polis, Telekom dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multmedia Malaysia (SKMM).
“Sejak siasatan dibuat, kertas siasatan telah beberapa kali dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang dan Putrajaya,” kata Mior.
“Beberapa arahan diberikan bagi melengkapkan siasatan sebelum sebarang keputusan dibuat.”
Menurut Mior, kertas siasatan sudah dikemaskini dan dirujuk kembali kepada pengarah pendakwaan Pulau Pinang untuk mendapatkan arahan selanjutnya.