Polis soal Guan Eng kes tuduhan palsu terhadap anaknya

Polis soal Guan Eng kes tuduhan palsu terhadap anaknya

Mengapa soalan ini timbul selepas 6 tahun dan hingga sekarang tiada tindakan - Guan Eng

Lim-Guan-Eng,-anak,-raba,-polis
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini ditemui sepasukan polis untuk disoal berhubung laporan polis yang dibuatnya 6 tahun yang lalu, berhubung seorang blogger Umno yang mendakwa anak lelakinya mencabul seorang gadis di sekolah.

Dua pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bertemu Lim di pejabatnya di Komtar, diiringi pegawai undang-undang, Raja Syarafina Raja Shuib.

Laporan polis itu pernah menjadi isu panas pada 2011, apabila anak Lim yang ketika itu berusia 16 tahun dituduh meraba dada rakan sekolahnya dan kemudiannya dipindahkan ke sekolah lain.

Enam laporan polis dibuat terhadap anak Lim.

Kemudian, gambar anak Lim dan seorang gadis didakwa mangsa raba tersebar selepas blogger pro Umno, Papagomo menyiarkannya di blog beliau.

Bagaimanapun, gadis yang dikatakan mangsa raba itu sebenarnya pemain catur Hong Kong, Anya Corke, yang gambar asalnya diedit untuk dikaitkan dengan anak Lim.

Isu itu dibangkitkan selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ditanya mengenai kes itu dan beliau menjawab kes itu masih dalam siasatan polis.

Lim berkata beliau terkejut apabila 2 penguasa polis itu bertanya jika dia masih mahu “meneruskan” kes itu ke mahkamah.

“Saya kata sudah tentu, jika anda tanya keluarga Kim Jong Un, adakah mereka mahu hadir ke mahkamah, sudah tentu mereka menjawab ‘ya’ bukan?” katanya merujuk diktator Korea Utara, dipercayai berhubung kes melibatkan kematian Kim Jong Nam.

Ini adalah kali ketiga polis mengambil kenyataan dari Lim.

“Mengapa tanya soalan ini selepas 6 tahun? Saya buat laporan atas nasihat seorang pegawai kanan polis pada masa itu tapi hingga sekarang tiada tindakan.

“Orang yang hina perdana menteri cepat didakwa tapi apabila ia berlaku kepada saya, masih tiada tindakan,” Lim memberitahu pemberita di Komtar hari ini.

Lim berkata, anaknya sangat trauma dengan dakwaan yang dilemparkan sehingga dia tidak mahu ke sekolah.

“Anak saya tidak mahu ke sekolah selepas itu dan saya bimbang jika dia mula melakukan perkara bodoh, dan kini anda melihat anak-anak mula melakukan perkara bodoh.

“Anda mahukan saya, datang pada saya, bukan anak saya, dia tidak berdosa,” katanya yang membidas “taktik kotor”.

Laporan FMT mendedahkan dakwaan meraba itu palsu kerana gambar mangsa yang tersebar itu adalah pemain catur berumur 21 tahun daripada Hong Kong.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.