Budak 8 tahun dan 3 saudara ditembak mati di selatan Thai

Budak 8 tahun dan 3 saudara ditembak mati di selatan Thai

Pembunuhan itu berlaku 2 hari selepas tentera kerajaan dan perunding puak pemberontak bersetuju mewujudkan zon keselamatan di selatan Thailand.

tembak_polis_thailand
BANGKOK:
Empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun ditembak mati di selatan Thailand, ketika rundingan damai puak pemberontak dengan kerajaan dilapor mencapai sedikit kejayaan sebelum ini.

Wilayah selatan Thailand dibelenggu keganasan sejak sedekad lalu susulan kebangkitan puak pemberontak Islam di negara bermajoriti penganut Buddha itu.

Sekurang-kurangnya 6,800 orang yang kebanyakan orang awam terbunuh dalam serangan yang didakwa kedua-dua pihak sebagai penyalahgunaan hak asasi manusia.

Jurucakap polis dan tentera berkata, 2 lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan pikap dipandu seorang pegawai tempatan yang sedang menghantar anaknya ke sekolah di wilayah Narathiwat, awal hari ini.

Isteri timbalan ketua kampung itu bersama iparnya yang menaiki kenderaan itu turut terbunuh dalam serangan itu.

Dua lagi penumpang dalam kenderaan itu terselamat.

“Ia mungkin kerja militan yang cuba mencetuskan pergolakan,” kata Komander Balai Polis Daerah Ruso, Kolonel Ruangsak Buadaeng kepada AFP.

Puak pemberontak biasanya menyasarkan pegawai tempatan, guru sekolah dan pihak yang dianggap bersekongkol dengan kerajaan Thailand.

Serangan itu berlaku 2 hari selepas tentera kerajaan dan perunding puak pemberontak bersetuju mewujudkan zon keselamatan di wilayah terbabit.

Perjanjian itu adalah yang pertama seumpamanya dalam rundingan antara kedua-dua pihak selama bertahun-tahun, tetapi gagal mencapai keputusan konkrit.

Bagaimanapun, penganalisis memberi amaran langkah itu mungkin tidak begitu berkesan tanpa sokongan Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thai.

BRN bersama beberapa kumpulan selatan Thai menubuhkan Mara Patani (Majlis Syura Patani) selaku badan induk dan perwakilan dalam rundingan damai tidak rasmi dengan Bangkok.

“Saya tak nampak pengumuman ini adalah kejayaan besar,” kata penganalisis Thai berpangkalan di wilayah bergolak itu, Don Pathan, berhubung perjanjian zon keselamatan itu.

“Mara Patani tidak mempunyai perintah-dan-kawalan ke atas pemberontak.”

Mara Patani dalam satu kenyataan berkata, ia “sedih” dengan pembunuhan hari ini dan mereka komited menyelesaikan konflik di selatan Thailand “melalui dialog politik aman”.

Tentera Thailand cuba memulakan rundingan damai selepas rampasan kuasa pada 2014. Keganasan berkurangan tetapi keamanan berkekalan masih jauh.

Rundingan damai yang dilancarkan kerajaan pilihan rakyat terdahulu dikritik kerana tidak membabitkan semua puak pemberontak dan gagal disebabkan krisis politik domestik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.