
Presiden Rozaidi Abdul Jamil, lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, merasakan jasa paling besar Jins apabila beliau menjadi penggerak kepada penubuhan Perbadanan Kemajuan Filen Nasional (Finas).
“Jasa paling besar Tan Sri Jins ialah beliau menubuhkan Finas, kerana dialah Finas itu wujud dan dia juga pernah menjadi pengerusi Finas,” katanya kepada FMT.
Finas bertanggungjawab memperkasa kemudahan dan perkhidmatan perfileman negara.
Zaid Zaidi menambah Jins mengangkat suara mereka ke Parlimen, menjadi individu pertama dilantik sebagai senator mewakili seniman.
“Beliau satu-satunya wakil senator daripada golongan seni ke Parlimen,” kata Zaidi.
“Seorang yang amat tegas dalam bekerja untuk membangunkan industri malah dia turut mempunyai PhD sekaligus menjadi salah satu ikon kepada anak-anak seni yang lain untuk menjadi seperti beliau,” katanya.
Jins meninggal dunia di rumahnya di Hulu Klang hari ini, menurut anaknya Putera Hang Nadim.
Pelakon dan pengarah filem yang pernah bersama-sama seniman lagenda seperti P Ramlee itu berusia 81 tahun.
Anak Taiping, Perak itu mempunyai lebih 46 filem sebagai pelakon dan 9 filem sebagai pengarah sejak 1951 hingga 2015.
Jins mempunyai 3 orang anak, Mohamad Jefri hasil perkahwinan dengan seniwati Rahmah Rahmat, dan Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim hasil perkahwinan dengan Puan Sri Halijah Abdullah.
Jins disahkan menghidap Alzheimer pada Februari 2011.
Jenazah akan dimandikan 8.00 pagi esok di rumahnya dan disembahyangkan di Masjid Al-Ridhuan, Ulu Klang, Kuala Lumpur.
Jins akan disemadikan di tanah perkuburan Islam Ulu Klang pada jam 10.00 pagi.