STPM: Pencapaian calon bandar masih atasi luar bandar

STPM: Pencapaian calon bandar masih atasi luar bandar

Jurang antara calon luar bandar dan bandar sangat kecil, iaitu hanya 0.03 mata.

Mohamed-Mustafa-Ishak-stpm
PUTRAJAYA: Walaupun pencapaian calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 meningkat dalam semua kriteria, masih ada jurang antara calon bandar dan luar bandar, kata pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, pencapaian calon bandar masih mengatasi calon luar bandar dalam aliran sains dan sains sosial.

“Keputusan STPM 2016 menunjukkan jurang yang sangat kecil antara calon luar bandar dan bandar, iaitu dengan hanya 0.03 mata sahaja. Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) calon bandar adalah 2.75, manakala PNGK luar bandar adalah 2.66.

“Jika dibandingkan 2016 dan 2015, didapati jurang perbezaan PNGK antara bandar dan luar bandar sedikit mengembang,” katanya sewaktu mengumumkan keputusan STPM 2016 di Hotel The Everly, hari ini.

Walaupun masih ada jurang, Mustafa berkata, keputusan 43,235 calon yang menduduki peperiksaan STPM 2016 tetap menunjukkan peningkatan mengatasi semua pencapaian sejak STPM modular diperkenalkan pada 2013.

“PNGK Nasional mencatatkan peningkatan daripada 2.65 dalam STPM 2015 kepada 2.71 dalam STPM 2016. PNGK calon sekolah kerajaan didapati mengatasi PNGK Nasional iaitu 2.72.

“Bilangan calon yang mendapat PNGK 4.00 daripada keseluruhan calon bertambah, iaitu daripada 335 calon kepada 565 calon, meningkat 230 calon,” katanya.

Beliau berkata, seramai 11 calon STPM 2016 mendapat 5A dalam semua subjek diambil mereka, manakala 47 calon memperoleh keputusan 4A berbanding 27 pada STPM 2015.

Calon STPM 2016 yang mendapat 4A dalam keempat-empat mata pelajaran meningkat kepada 517 orang berbanding 302 orang pada 2015.

“Ini menjadikan keseluruhan calon yang mendapat 5A dan 4A dalam peperiksaan STPM 2016 meningkat daripada 339 kepada 575 calon,” katanya.

Mustafa berkata, 6 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi melebihi 3% berbanding tahun sebelumnya, manakala prestasi 16 mata pelajaran lain tidak berubah.

Enam mata pelajaran itu adalah Literature in English, Information and Communications, Technology, Mathematics M, Perakaunan, Ekonomi dan Sains Sukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.