
Ancaman itu dipercayai kerana prestasi teruk Harimau Kumbang dalam Liga Super Malaysia (MSL), apabila pasukan itu kalah dalam semua 6 perlawanan sejak liga bermula pada 20 Januari lalu, mencetuskan kemarahan penyokong.
Menurut presidennya Zairil Khir Johari, ancaman itu mematahkan semangat pemain dan mungkin menyebabkan penurunan prestasi mereka.
“Peminat mempunyai hak mengkritik FA Pulau Pinang dan Harimau Kumbang tetapi menghina mereka dan mengancam pengurusan, jurulatih dan pemain itu tidak wajar.
“FA dan pemain berada di bawah tekanan yang besar dari peminat,” katanya dalam kenyataan hari ini, dan menambah pihaknya sudah membuat beberapa laporan polis.
Zairil dipilih sebagai Presiden Penang FA tahun ini, mengambil alih dari Nazir Ariff Mushir Ariff. Zairil sebelum ini menjadi pengurus Harimau Kumbang.
Kekalahan 6 perlawanan berturut-turut sejak permulaan musim menjadi rekod prestasi terburuk Harimau Kumbang dalam MSL dan liga tempatan lain.
Dua minggu lalu, Pulau Pinang tewas di tangan Pahang apabila dipijak 1-6 oleh pasukan Tok Gajah, kekalahan terbesar Harimau Kumbang dalam liga setakat ini.
Sabtu lalu, mereka kalah 1-3 kepada Kedah.
Pulau Pinang kini berada di tangga terbawah liga, dan berisiko diturunkan ke Liga Premier Malaysia.