
Mengulas sabitan terhadap rakan aktivis Lena Hendry, Josiah mempersoalkan “penganiayaan” kerana menyiarkan dokumentari mengenai perang saudara Sri Lanka.
“Apa yang beliau lakukan dianggap sebagai satu jenayah, iaitu, kerana tidak mendapat kelulusan yang diperlukan untuk menayangkan filem.
“Undang-undang itu sendiri adalah undang-undang yang tidak adil, dan Lena mungkin akan dipenjarakan atau membayar denda kerananya,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Komas di sini hari ini.
Minggu lalu, Lena didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret kerana menayangkan dokumentari tidak ditapis, “No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka”.
Beliau dijangka menjalankan hukuman pada 22 Mac.
Dokumentari arahan Callum Macrae, menceritakan kisah beberapa bulan terakhir 26 tahun perang Sri Lanka.
Josiah berkata pertuduhan terhadap Lena adalah “kecil, jahat dan tidak perlu”.
“Kami percaya kepada kebebasan bersuara, dan dokumentari ini berdasarkan fakta terhadap apa yang berlaku dalam perang saudara Sri Lanka,” katanya.
Beliau berkata kumpulan masyarakat sivil akan keluar dan menayangkan dokumentari itu lagi kerana ia filem yang menyentuh mengenai isu hak asasi manusia di Sri Lanka.
“Kami percaya kepada kebebasan bersuara,” katanya, tanpa menjelaskan bila dan di mana kumpulan masyarakat sivil akan mengadakan tayangan itu.
Sementara itu, Lena bingung mengapa hanya beliau dikenakan pertuduhan.
“Dokumentari ini ditunjukkan banyak kali di sini oleh kumpulan lain dan juga pada Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa 2 tahun lalu,” katanya sambil menambah mereka tidak dikenakan tuduhan di bawah Akta Penapisan Filem.
“Ini bukan lucah (filem) atau filem yang menggalakkan keganasan. Ia dokumentari penyiasatan,” katanya.
Lena berkata sabitan itu akan memberi kesan serius kepada hidupnya.
“Saya mungkin berhadapan sekatan perjalanan selagi sabitan itu tidak dibatalkan,” katanya.