
Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat yang dipetik Oriental Daily hari ini berkata, beberapa barang dirampas dalam unit yang disewa 4 suspek itu untuk dianalisis.
Dalam pada itu, Samah menafikan dakwaan kematian suspek wanita yang mengalami kesan akibat terdedah kepada agen saraf VX.
Hari ini, Samah yang dipetik The Star mengesahkan sepasukan anggota Hazmat (bahan berbahaya) memeriksa kondominium itu, Khamis lalu dan merampas pelbagai bahan kimia, beberapa pasang sarung tangan dan kasut.
Beliau berkata, pasukan dari Balai Bomba KLCC itu mengambil bahagian dalam satu latihan polis di akademi polis di Cheras sebelum melakukan serbuan di kondominium berkenaan.
Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan seorang daripada 2 wanita asing yang ditahan reman mengalami muntah-muntah dipercayai akibat terkena bahan kimia yang digunakan dalam pembunuhan abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un.
Pada hari sama, Khalid berkata, laporan analisis awal Jabatan Kimia Malaysia mendapati bahan kimia Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphonothiolate atau agen saraf VX digunakan dalam pembunuhan Jong Nam.
Jong Nam yang tiba di Malaysia pada 6 Februari lalu dan sepatutnya menaiki penerbangan ke Macau pada jam 10.30 pagi 13 Februari lalu, diserang 2 wanita menyembur sejenis racun dan menekup mukanya dengan sehelai kain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Anak sulung kepada bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il itu mendapatkan bantuan di kaunter di kaunter khidmat pelanggan klia2, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Sehingga kini, 4 suspek ditahan polis untuk membantu siasatan. Mereka ialah seorang wanita Vietnam bernama Doan Thi Huong, Siti Aisyah dari Indonesia, Muhammad Farid Jallaludin (Malaysia) and Ri Jong Chol (lelaki Korea Utara).
Polis masih memburu 7 suspek warga Korea Utara – 4 daripada mereka yang dikenali sebagai Ri Ji Hyon, 33, Hong Song Hac, 34, O Jong Gil, 55, dan Ri Jae Nam, 57, sudah meninggalkan Malaysia pada hari Jong Nam diserang.
Manakala 2 lagi suspek Korea Utara ialah Hyon Kwang Song yang merupakan setiausaha kedua di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan pekerja Air Koryo, Kim Uk Il, yang dikehendaki polis untuk membantu siasatan. Kedua-duanya dipercayai masih berada dalam negara ini.
Identiti seorang lagi suspek tidak diketahui.