
Bagaimanapun, Jamal ketika dihubungi FMT menyifatkan tindakan Pemuda Pakatan Harapan dan PPBM Selangor sebagai taktik murahan dan ketinggalan masa memandangkan bantahan itu diadakan lebih seminggu lalu.
Beliau turut mendakwa kumpulan itu ingin mengalihkan perhatian daripada isu sebenar, iaitu kerajaan Selangor didakwa menyalahgunakan dana diperuntukkan kepada warga emas dengan memperbesarkan isu penggunaan kenderaan jenazah.
“Kalau nak buat laporan polis, mereka sepatutnya buat pada hari sama selepas saya buat bantahan tempoh hari. Untuk makluman, saya sudah dipanggil pihak polis untuk diambil keterangan 3 hari selepas bantahan saya buat, apabila pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat laporan polis sebelum ini.
“Apa yang dibuat anak muda AMK, DAP, Amanah, PPBM ini sebagai taktik murahan dan sengaja mengalih isu penyelewengan dana. Saya nak nasihatkan mereka beritahu bos mereka, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menjawab persoalan yang kami bangkitkan, bukan mengalih perhatian dengan membawa isu van jenazah dan tidak mempolitikkan titah Sultan Selangor,” katanya.
Ketua Pemuda Amanah Selangor, Abbas bagaimanapun menafikan dakwaan Jamal kononnya laporan polis itu dibuat bagi menutup isu sebenar berhubung penyelewengan dana warga emas oleh kerajaan Selangor.
“Kita lihat Umno ketandusan isu untuk dibawa hentam kerajaan negeri Selangor. Kenapa guna van jenazah, kenapa tak jumpa Azmin minta penjelasan, tapi kenapa kaedah pelik digunakan,” soalnya.
Ketua Pemuda PKR Selangor, Afzainizam Rahman berkata, tindakan Jamal itu mencemarkan imej agama Islam secara tidak langsung dan mengganggu gugat keharmonian masyarakat di Selangor.
Sehubungan itu, beliau mendesak Jamal dan pengikutnya dalam bantahan itu memohon ampun kepada Sultan Selangor dan rakyat negeri itu.
Terdahulu, beliau bersama Ketua Pemuda Amanah Selangor, Abbas Salimmi Azmi; Ketua Pemuda PPBM Selangor, Adhif Syan Abdullah dan Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP Selangor, Mugheelan Mugi dan lebih 50 penyokong Pakatan Harapan serta PPBM berarak dari perkarangan masjid negeri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam selepas solat Jumaat tadi.
Pada 14 Februari lalu, ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu mengusung keranda dan mengerahkan 16 van jenazah berarak di luar bangunan pentadbiran Selangor, bagi membantah dana untuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Wang Khairat Kematian Negeri Selangor berjumlah RM200 juta yang didakwa diseleweng kerajaan negeri itu.
Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan kenderaan jenazah di negeri itu disalah guna untuk demonstrasi atau kegunaan lain yang tiada kena-mengena dengan urusan asal untuk mengendalikan jenazah.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohd Munir Bani dalam kenyataan semalam berkata, ahli jawatankuasa kariah atau jawatankuasa masjid seluruh Selangor diminta menjaga kenderaan jenazah di bawah seliaan masing-masing dengan baik dan tidak menyalahgunakan kenderaan itu.
“Perbuatan itu hanya akan memperlihatkan umat Islam mempersendakan penggunaan kenderaan jenazah yang tidak sepatutnya dilakukan,” katanya.
Jamal usung keranda dakwa Selangor seleweng khairat kematian