
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata dasar luar Malaysia adalah mengekalkan hubungan dengan negara lain.
“Namun persahabatan Malaysia ini perlu dibalas semula,” katanya pada sidang media di Wisma Putra, hari ini.
Katanya lagi, Malaysia sentiasa bertindak berdasarkan undang-undang antarabangsa dan amalan diplomasi sedia ada.
“Seluruh dunia tahu siasatan yang dibuat objektif, tidak berpihak dan telus,” katanya lagi.
Hubungan antara Malaysia dan Korea Utara memburuk sejak pembunuhan abang sebapa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam minggu lalu, dengan Malaysia enggan menyerahkan mayatnya kepada Korea Utara sebelum selesai bedah siasat.
Duta Korea Utara, Kang Chol sebelum ini berkata negara itu menolak keputusan bedah siasat dan mendakwa Malaysia bersubahat dengan “negara seteru” mereka.
Anifah mengecam Kang Chol yang menurutnya bersikap delusi dan membuat dakwaan tidak berasas kepada kerajaan, walaupun dimaklumkan perjalanan proses kes itu.
“Beliau bukan sahaja perlu faham niat dan perasaan kerajaan, tetapi juga rakyat Malaysia,” katanya lagi.