
Kim Jong-nam – anak sulung bekas pemimpin Korea Utara Kim Jong-il – mati pada 13 Februari selepas diserang 2 wanita di lapangan terbang ekonomi, klia2, yang disyaki dirancang Pyongyang.
Media Korea Utara, KCNA, membisu sehinggalah hari ini dengan berita yang mengecam siasatan Malaysia. KCNA tidak menamakan Jong-nam sebagai mangsa.
Bagaimanapun, Korea Selatan minggu ini meletakkan pembesar suara desibel tinggi bagi memastikan butiran kematian Jong-nam, suatu ketika dipercayai pengganti bapanya, didengari di sebahagian besar kawasan sempadan, kata stesen media Seoul, MBC TV.
“Kim Jong-nam…mati selepas diserang 2 wanita yang tidak dikenali di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur di Malaysia,” kata mesej itu yang disiar semula oleh tv stesen itu.
“Pihak berkuasa Malaysia berkata 4 suspek adalah warga Korea Utara termasuk seorang yang sudah ditangkap,” kata siaran itu lagi.
Berita dari dunia luar sangat dikawal di Korea Utara di bawah pentadbiran keluarga Kim, yang memerintah sejak berdekad lama dengan kuku besi dan kultus personaliti.
Tentera Korea Selatan sejak bertahun menyiarkan berita dunia, mesej propaganda dan lagu K-pop merentasi sempadan menggunakan berpuluh pembesar suara, menyasarkan askar negara terpencil itu. Pembesar suara itu boleh didengari sejauh 10 km.
Menteri pertahanan Korea Selatan enggan mengesahkan laporan mengenai penyiaran terbaharu itu, atas alasan keselamatan.
Media Korea Utara pada Khamis akhirnya bersuara tentang pembunuhan itu, mengecam cara “tidak bermoral” Malaysia menangani kes itu dan bermain politik dengan mayat.
Siaran propaganda itu sangat dibenci Pyongyang, yang sebelum ini mengancam untuk mengebom pembesar suara itu.
Korea Utara turut memasang pembesar suara berdekatan sempadan untuk menyiarkan propagandanya dalam usaha menenggelamkan pesanan dari Korea Selatan.
Jong-nam pada suatu ketika dijangka mengambil alih kuasa di Korea Utara; diasuh oleh bapanya untuk menjadi pemimpin generasi ketiga keluarga itu.
Beliau bagaimanapun dipinggirkan dan hidup dalam buangan di China apabila adiknya pula diasuh untuk mengambil alih kuasa selepas kematian bapa mereka pada 2011.