Saifuddin: PR punyai ‘jumlah’ untuk tumbangkan PM pada 2008

Saifuddin: PR punyai ‘jumlah’ untuk tumbangkan PM pada 2008

Setiausaha agung PKR berkata surat yang ditandatangani PKR, DAP dan PAS diserahkan ke pejabat PM menyeru sesi Dewan Rakyat khas diadakan tetapi tidak dijawab

Saifuddin-Nasution_Badawi_600
KUALA LUMPUR:
Pakatan Rakyat mempunyai jumlah ahli Parlimen secukupnya untuk menumbangkan kerajaan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008, kata setiausaha agung PKR di mahkamah hari ini.

Oleh itu, Datuk Saifuddin Nasution berkata majlis presiden pakatan yang dianggotai PKR, DAP dan PAS menandatangani surat bersama menyeru Abdullah memanggil sesi Dewan Rakyat khas.

“Surat diserah secara tangan kepada setiausaha sulit perdana menteri Tajuddin Johar,” katanya di perbicaraan saman fitnah RM100 juta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata surat dihantar kepada Abdullah kerana hanya perdana menteri atau Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil sidang Parlimen.

Saifuddin berkata Anwar, yang pada ketika itu ketua pembangkang di Parlimen, meyakinkan majlis bahawa beliau mempunyai jumlah ahli Parlimen secukupnya untuk memulakan undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

“Anwar memberi taklimat kepada pimpinan PAS, termasuk bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengenai langkah itu,” katanya ketika disoal peguam Sivarasa Rasiah.

Saifuddin berkata dirinya bersama Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul menemui Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Kota Kinabalu berhubung proses untuk melakukan undi tidak percaya.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa mereka lebih suka menguji sama ada perdana menteri mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen melalui pengundian di Dewan Rakyat.

“Kita tidak mahu menggunakan istana seperti yang Najib Razak lakukan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak,” katanya, merujuk kepada pengambilalihan kerajaan negeri oleh Barisan Nasional pada 2009.

Saifuddin berkata sesi khas itu tidak berlaku kerana Abdullah tidak menjawab surat mereka.

Beliau tidak memberitahu mahkamah jumlah sebenar ahli Parlimen yang bersama mereka.

Ketika ditanya peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Khairy, Saifuddin berkata surat itu tidak menyatakan nama atau jumlah ahli Parlimen yang akan menyokong usul tidak percaya.

“Mereka boleh menggunakan semua instrumen kerajaan untuk mengganggu dan menggagalkan langkah kami,” katanya merujuk kepada rancangan 16 September.

Saifuddin bersetuju dengan Shafee bahawa imej pembangkang akan tercalar sekiranya mereka gagal tunjukkan jumlah yang dikatakan itu jika usul tidak percaya dibenarkan.

Pembangkang meraih 78 kerusi dalam pilihan raya umum ke-12, diadakan pada 8 Mac 2008, tetapi kurang 44 kerusi untuk mendapatkan majoriti di Dewan Rakyat.

Anwar, 69, memfailkan saman terhadap Khairy berhubung kenyataan “main belakang” yang disebutkan di satu ceramah politik di Lembah Pantai pada 2008.

Anwar berkata kenyataan itu bermaksud beliau seorang homosexual, mempunyai moral yang rendah, mempunyai keupayaan untuk melakukan jenayah dan maksiat.

Ketua umum PKR itu memfailkan saman selepas membaca laporan Malaysiakini dan menonton video yang disiarkan portal berita itu.

Perbicaran di hadapan Hakim Azizul Azmi Adnan disambung Jumaat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.