
Perdana menteri berkata penyertaan syarikat tersebut dalam program itu akan dijadikan prasyarat yang akan menentukan kelayakan untuk mendapat kontrak kerajaan pada masa akan datang.
“Saya hendak syarikat swasta terutama sekali syarikat senaraian awam supaya mengambil bahagian dalam program SL1M ini dan saya akan arahkan Perbendaharaan untuk jadikan ia sebagai prasyarat untuk dapat kontrak besar kerajaan.
“Jadi, kalau mereka tidak mengambil bahagian, peluang mereka untuk mendapat kontrak kerajaan nanti akan slim (tipis) juga,” katanya dalam sidang media merasmikan Program Temu Duga Terbuka SL1M peringkat Zon Tengah 2017.
Katanya, penyertaan syarikat senaraian awam itu bertujuan menyediakan lebih banyak peluang latihan kepada graduan yang ketika ini kebanyakannya ditawarkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Najib berkata langkah itu juga adalah satu daripada kaedah untuk syarikat tersebut menyumbang kembali kepada masyarakat setelah mendapat kontrak kerajaan.
Katanya, walaupun ada antara syarikat terbabit yang menjalankan program tanggungjawab sosial masing-masing, namun beliau mahu penglibatan yang lebih spesifik menerusi program itu.
“Jadi, program SL1M ini menggambarkan bahawa kita amat prihatin terhadap golongan muda yang memerlukan sedikit pertolongan dan peluang latihan supaya mereka mendapat masa depan yang diharapkan,” kata Najib.
Program temu duga terbuka SL1M peringkat zon tengah itu berakhir hari ini dengan menawarkan lebih 25,000 jawatan kosong dan peluang latihan daripada 100 buah syarikat.
Berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), ia menjangkakan
kehadiran lebih 40,000 pengunjung yang boleh membuat permohonan kerja serta latihan dan ditemu duga secara langsung oleh syarikat.