Kematian Jong Nam: Aktiviti Pyongyang di Asia Tenggara jadi tumpuan

Kematian Jong Nam: Aktiviti Pyongyang di Asia Tenggara jadi tumpuan

Menurut laporan FT, Korea Utara berusaha meningkatkan hubungan perdagangan dengan negara di Asia Tenggara selama ini dan mempunyai hubungan baik dengan Malaysia.

kim-jong-nam-3
KUALA LUMPUR:
Pertikaian Korea Utara dan Malaysia berhubung pembunuhan Kim Jong Nam menyebabkan fokus turut diberikan terhadap hubungan dua hala serta kerjasama perdagangan Korea Utara dengan negara Asia Tenggara.

Selama ini, Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Korea Utara, sebuah daripada beberapa negara di dunia yang berbuat demikian. Rakyat Malaysia ialah satu-satunya warganegara di dunia yang tidak memerlukan visa ke Korea Utara.

Menurut laporan Financial Times (FT), Korea Utara memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi untuk menubuhkan pejabat bagi menarik pelancong dari Asia Tenggara dan India untuk meningkatkan pendapatannya menerusi industri pelancongan.

Laporan itu berkata, warga Korea Utara kini berkhidmat dalam industri pembinaan dan perlombongan di Sarawak.

Di bawah perjanjian barter, Malaysia menukar minyak sawit dengan baja dari Korea Utara.

Hubungan perdagangan itu sedang berkembang, tetapi pada kadar sederhana. Nilai dagangan hanta mencecah RM22.7 juta pada 2015.

FT memetik penganalisis sebagai berkata, penglibatan Malaysia didorong peluang komersial dan tradisi diplomasi berkecuali.

Lee Jaehyon, pakar mengenai Asia Tenggara di Institut Asan di Seoul dipetik FT sebagai berkata: “Pada 1960-an dan 1970-an, Korea Utara paling rapat dengan rejim komunis dan negara berkecuali di rantau ini. Malaysia menjangka akan mendapat manfaat ekonomi jika Korea Utara membuka pintunya.”

Bagaimanapun, hubungan itu mungkin berubah susulan pembunuhan Jong Nam, abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un.

Jong Nam dilaporkan diserang 2 wanita ketika beliau menunggu penerbangan pulang ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Pertikaian bermula apabila Malaysia menjalankan bedah siasat ke atas mayat Jong Nam, sekalipun dibantah Pyongyang dan enggan menyerahkan mayat itu sehingga waris tampil memberikan sampel DNA mereka.

Semalam, Duta Korea Utara, Kang Chol, dipanggil Kementerian Luar Malaysia bagi menjelaskan tuduhannya yang siasatan kes itu “bermotifkan politik” dan Putrajaya “menyembunyikan sesuatu” serta “berpakat dan bersekongkol dengan pihak luar”.

Pada masa sama, Putrajaya turut memanggil duta besar Malaysia di Pyongyang pulang ke Kuala Lumpur untuk proses rundingan.

Susulan pertemuan itu, Kang mengeluarkan kenyataan akhbar sepanjang 5 muka surat pada petang semalam yang mendakwa Pyongyang tidak percaya kepada kerajaan Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, tohmahan Korea Utara itu bersandarkan khayalan dan pembohongan serta sebarang cadangan yang siasatan itu bermotifkan politik adalah “penghinaan besar kepada Malaysia”.

Tidak pasti bagaimana perbalahan Malaysia dan Korea Utara akan menjejaskan minat perdagangan Pyongyang yang semakin meningkat terhadap rantau ini.

Menurut laporan FT, Korea Utara mempunyai satu rangkaian restoran “Pyongyang” di beberapa negara di Asia Tenggara.

Laporan FT berkata, Pyongyang turut beralih kepada Asia Tenggara untuk mencari jalan mengelakkan sekatan antarabangsa, dengan syarikat perkapalan berpangkalan di Singapura didakwa memudahkan penghantaran senjata kepada Korea Utara.

FT melaporkan, salah sebuah syarikat itu, Chinpo Shipping, didenda S$180,000 (RM564,874) oleh mahkamah Singapura tahun lalu, selepas didapati bersalah memindahkan aset atau sumber kewangan yang boleh digunakan untuk menyumbang kepada program senjata Korea Utara.

Selain Malaysia dan Indonesia – yang berusaha menjadi jambatan antara Korea Utara dan Selatan – negara lain bagaimanapun tidak cuba meningkatkan hubungan dengan Pyongyang, kata laporan itu.

Di Kemboja, studio seni Mansudae Korea Utara membina sebuah muzium yang didedikasikan kepada Angkor Wat.

Junta Myanmar atau individu yang dikaitkan dengannya menerima senjata dari Pyongyang ketika dipulaukan masyarakat antarabangsa sebelum ia berundur pada 2011.

FT melaporkan apabila pegawai Korea Utara mengadu kepada Myanmar pada 2015 mengenai salinan cetak rompak filem The Interview – filem komedi satira terbitan Sony Pictures mengenai plot membunuh Jong Un – dijual di pasaran, pihak berkuasa Myanmar bertindak merampas salinan cetak rompak itu.

Kami tak percaya anda, Korea Utara bidas Malaysia

Malaysia anggap tuduhan Korea Utara ‘bohong, khayalan’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.