
Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, rangka bot itu ialah bot katamaran yang mengalami kerosakan enjin ketika membawa 9 pemancing di perairan berhampiran Pulau Batu Sapi pada 13 Februari lepas.
Dalam kejadian itu, APMM menyelamatkan 5 kru bot berkenaan, manakala 9 pemancing terbabit sudah diselamatkan lebih awal.
“Semalam, kita terima maklumat daripada nelayan tempatan yang mendakwa menemui rangka bot itu kira-kira 100m dari Pantai Membakut pada jam 11.02 pagi.
“Satu usaha mencari rangka itu kemudiannya dilakukan dengan membabitkan aset Bot Kilat 40 dan kita berjaya menemuinya di lokasi berkenaan jam 2.39 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati rangka bot itu adalah bot katamaran yang rosak dalam kejadian 13 Februari lepas dan perkara itu disahkan pemilik bot berkenaan.
Zubil berkata, susulan pengesahan itu, usaha mencari 5 mangsa hilang bot karam di Pulau Mengalum hari ini masuk hari ke-24, belum menemui petunjuk baharu.
Dalam tragedi 28 Januari lepas, bot pelancong jenis katamaran membawa 28 pelancong warga China dan 3 anak kapal karam, dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.
Setakat ini, 26 mangsa sudah dijumpai termasuk 4 yang maut.