Malaysia panggil duta Korea Utara, jamin siasatan telus

Malaysia panggil duta Korea Utara, jamin siasatan telus

Kerajaan turut memanggil duta besar Malaysia di Pyongyang pulang ke Kuala Lumpur untuk proses rundingan.

kangchol-malaysia-korea
PETALING JAYA: Malaysia hari ini memanggil Duta Korea Utara, Kang Chol bagi menjelaskan tuduhan kononnya Putrajaya “menyembunyikan sesuatu” serta “berpakat dan bersekongkol dengan kuasa luar” dalam pengurusan kes kematian Kim Jong Nam, minggu lalu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan tuduhan Kang sebagai tidak berasas dan mencemarkan reputasi negara ini.

Katanya, Malaysia memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara telus ke atas kematian Jong Nam dan memaklumkan perkembangan siasatan itu kepada Kedutaan Korea Utara.

Pada masa sama, Kementerian Luar berkata, kerajaan turut memanggil duta besar Malaysia di Pyongyang pulang ke Kuala Lumpur untuk proses rundingan.

Kang yang mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Dua Hala Kementerian Luar, Raja Nushirwan Zainal Abidin, pagi tadi dilihat meninggalkan Putrajaya kira-kira 11.30 pagi ini tanpa memberi sebarang kenyataan kepada wartawan.

Jumaat lalu, Kang menyuarakan rasa tidak puas hatinya selepas Malaysia menolak permohonan menyerahkan mayat Jong Nam kepada Pyongyang dan bertegas Korea Utara akan menolak sebarang keputusan bedah siasat yang dijalankan tanpa kebenaran dan disaksikan mereka.

Isnin lalu, Jong Nam yang dijadualkan berlepas ke Macau pada jam 9 pagi itu, didatangi 2 wanita yang menyembur sejenis cecair dan menyerkup mukanya dengan sehelai kain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan klia2.

Korea Utara tolak laporan bedah siasat, tuduh Malaysia berpakat

Wisma Putra akan panggil duta Korea Utara hari ini

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.