Peserta langgar syarat bawa bayi, kanak-kanak ke Himpunan 355

Peserta langgar syarat bawa bayi, kanak-kanak ke Himpunan 355

Hasil siasatan awal mendapati, bayi dan kanak-kanak yang dibawa menghadiri perhimpunan tersebut dalam lingkungan 7 bulan hingga 15 tahun.

sukrikaman-ruu355
KUALA LUMPUR: Peserta Himpunan 355 didapati melanggar syarat perhimpunan mengikut Seksyen 4 (2)(f) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana membawa bayi dan kanak-kanak ketika berhimpun.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman berkata, antara jam 2 petang hingga 11.30 malam semalam, polis yang bertugas di Padang Merbok dan Jalan Parlimen mendapati ramai peserta perhimpunan itu yang memakai baju ungu membawa bayi dan kanak-kanak.

“Hasil siasatan awal mendapati, bayi dan kanak-kanak yang dibawa menghadiri perhimpunan tersebut dalam lingkungan 7 bulan hingga 15 tahun.

“Kes masih dalam siasatan dan sehingga kini tiada tangkapan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Himpunan 355 yang diadakan di Padang Merbok semalam bertujuan memberi penerangan kepada umat Islam mengenai cadangan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Antara lain, cadangan pindaan itu membabitkan hukuman lebih berat bagi kesalahan yang dilakukan umat Islam sahaja dan langsung tidak memberi kesan kepada golongan bukan Islam.

‘Lautan ungu’ banjiri Padang Merbok

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.