Waris Jong Nam tak wajib kerjasama dengan Kedutaan Korea Utara

Waris Jong Nam tak wajib kerjasama dengan Kedutaan Korea Utara

Malaysia juga berhak melakukan bedah siasat sepenuhnya terhadap Jong Nam kerana mangsa meninggal dunia di dalam negara ini.

 

kim-jong-nam_kore_600
PETALING JAYA:
Ahli keluarga Kim Jong Nam tidak diwajibkan untuk bekerjasama dengan Kedutaan Korea Utara dalam usaha menuntut mayatnya, kata pakar penyelidik kepimpinan Korea Utara.

Michael Madden berkata ahli keluarga Jong Nam boleh mendapatkan pertolongan dari negara lain, contohnya China dan Singapura melalui kementerian luar negeri dalam usaha mereka menuntut mayatnya itu.

“Berdasarkan penilaian dan sikap kepimpinan kerajaan Korea Utara terhadap ahli keluarga Jong Nam, bekerjasama dengan kedutaan Korea Utara bukanlah pilihan utama mereka,” katanya kepada FMT menerusi emel.

Sebelum ini, Duta Korea Utara di Malaysia Kang Chol menuduh kerajaan Malaysia bersubahat dengan musuh Korea Utara dalam pembunuhan Jong Nam.

Ia susulan tindakan Malaysia enggan menyerahkan mayat dan tekad meneruskan bedah siasat ke atas Jong Nam tanpa mendapat kebenaran atau keizinan dari Korea Utara.

Madden yang juga sarjana di Institute AS-Korea di School for Advanced International Studies, Universiti Johns Hopkins berkata Korea Utara juga dilihat mempergunakan kedudukan dan keselamatan ahli keluarga Jong Nam dalam perkara ini.

“Ketiadaan ahli keluarga menyebabkan Korea Utara mempunyai hak untuk menuntut rakyat negara berkenaan.

“Dalam situasi ahli keluarga Jong Nam dikawal ketat atas sebab keselamatan dan bimbang keselamatan terancam jika mereka membuat tuntutan mayat, jadi Korea Utara mengambil kesempatan atas keadaan itu,” katanya.

Jong-nam dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (klia2) jam 8 pagi pada 13 Februari untuk menaiki penerbangan ke Macau.

Namun hasrat Jong Nam terhalang apabila 2 wanita menghampirinya lalu menyerkup mukanya dengan kain yang mengandungi cecair beracun.

Jong Nam yang menggunakan nama Kim Chol pada pasportnya, dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Sehingga kini, 2 wanita, masing-masing warganegara Vietnam dan Indonesia serta seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan.

Madden berkata di sisi undang-undang antarabangsa dan negara pula, Malaysia berhak untuk melakukan bedah siasat sepenuhnya terhadap Jong Nam memandangkan mangsa meninggal dunia di dalam negara ini.

Bagaimanapun, Korea Utara melalui kedutaannya di Malaysia juga berhak untuk memberi tekanan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Malaysia agar segera menyerahkan mayat Jong Nam.

“Disebabkan kematian itu berprofil tinggi dan terjadi di Malaysia, lebih baik pihak berkuasa Malaysia menjalankan siasatan sepenuhnya walaupun ia akan menyakitkan hati Korea Utara,” katanya.

Perkara itu turut disokong peguam hak asasi manusia dari Amerika Syarikat (AS) Kimberly Motley yang menyatakan Malaysia berhak menjalankan siasatan sepenuhnya terhadap mayat Jong Nam.

“Ia bergantung kepada apa yang diperlukan kerajaan Malaysia kerana mayat Jong Nam berada di sini (Malaysia).

“Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un juga boleh menuntut mayat ini (Jong Nam) dengan hadir di sini. Bagaimanapun sekali lagi, ia terserah kepada kerajaan Malaysia,” katanya.

Motley berkata lazimnya mayat warga asing yang meninggal di luar negara juga diserahkan kepada ahli keluarganya sendiri dan bukan kerajaan.

“Kebiasaannya, berdasarkan kes yang pernah saya lihat sebelum ini, kedutaan di luar negara itu hanya terlibat dalam pemindahan dan logistik mayat si mati saja,” katanya.

Madden berkata Malaysia berhak melakukan ujian dan mengambil sampel DNA Jong Nam terlebih dulu memandangkan berkemungkinan besar Korea Utara akan merahsiakan perkara itu selepas mayat diserahkan kepada negara itu.

Jong Nam ialah abang sebapa kepada pemerintah Korea Utara dan anak sulung Kim Jong Il. Jong Nam dikatakan tidak menetap di sesuatu tempat bagi tempoh lama, malah kerap mengembara di pelbagai bandar raya di Asia Tenggara dan China.

2 wanita, 4 lelaki rancang bunuh Kim Jong Nam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.