Pengarah pendidikan minta ibu bapa lupus basikal diubah suai

Pengarah pendidikan minta ibu bapa lupus basikal diubah suai

Shaharudin turut menasihatkan ibu bapa melarang anak mereka keluar lewat malam serta memantau pergerakan dan aktiviti mereka.

Shaharudin-Sharif
JOHOR BAHRU:
Jabatan Pendidikan Negeri Johor mengarahkan sekolah mengesan dan memberi sesi kaunseling kepada pelajar terbabit dengan kumpulan berbasikal waktu malam di sekitar bandar raya ini.

Pengarahnya, Shaharudin Sharif berkata, pihak sekolah sering kali memberi nasihat dan amaran kepada pelajar terbabit dengan kumpulan berbasikal semasa perhimpunan sekolah, namun masih ada segelintir pelajar ingkar dengan peringatan tersebut.

Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa melarang anak mereka keluar lewat malam serta memantau pergerakan dan aktiviti mereka.

Tambahan pula, katanya, ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk melupuskan basikal diubah suai tanpa ciri keselamatan yang dimiliki anak mereka.

Beliau berkata demikian semasa melawat waris keluarga di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA), hari ini.

Beliau mengulas insiden 8 pelajar terbunuh, manakala 8 lagi cedera apabila sekumpulan remaja berbasikal dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, kira-kira 3 pagi tadi.

“Basikal mereka ini diubah suai sehingga tidak ada langsung ciri keselamatan. Untuk itu saya minta ibu bapa, sekiranya anak mereka mempunyai basikal ini, lupuskan sahaja sebelum perkara tidak diingini
berlaku,” katanya.

Sementara itu, timbalan pengarahnya, Azman Adnan berkata, pihaknya akan menguruskan hal berkaitan insurans memandangkan waris mangsa layak menuntut wang perlindungan insurans menerusi Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia.

Selain itu, katanya, pihaknya menyediakan guru kaunseling bagi memberi nasihat dan semangat untuk keluarga mangsa.

“Selain kaunselor, kita juga memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa, termasuk sedikit sumbangan kewangan bagi pengurusan jenazah,” katanya.

Walaupun kejadian seumpama itu berlaku di luar kawalan sekolah, namun katanya, pihak sekolah sentiasa mengambil inisiatif mengadakan pelbagai program kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar.

Malang berbasikal tengah malam dekat kubur, 8 remaja maut

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.