Mangsa cedera dakwa pemandu guna telefon bimbit, pandu laju

Mangsa cedera dakwa pemandu guna telefon bimbit, pandu laju

Muhammad Zulfadli mendakwa kereta yang dipandu seorang wanita itu seolah-olah meluru ke arah mereka yang berkumpul di tepi jalan.

zukifli
JOHOR BAHRU:
Seorang daripada mangsa cedera dalam tragedi di Jalan Lingkaran Dalam awal hari ini mendakwa kereta yang merempuh mereka dipandu laju.

Muhammad Zulfadli Yusri, 19, berkata kejadian berlaku terlalu pantas, namun dia dapat melihat dengan jelas kereta yang dipandu seorang wanita itu seolah-olah meluru ke arah mereka yang berkumpul di tepi jalan.

“Saya dan kawan-kawan berhenti dalam 10 minit di tepi jalan. Tiba-tiba saya nampak kereta meluru laju dan saya memang langsung tidak dapat berbuat apa-apa ataupun mengelak.

“Apabila sedar, saya sudah terduduk dan berasa sakit pada kaki,” katanya selepas menerima lawatan Pengarah Pendidikan Johor, Shaharudin Sharif di Wad Barat 2, Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Muhammad Zulfadli berkata, dia mengayuh basikal dari rumahnya di Stulang Baru, di sini, sebelum bertemu rakan di lokasi kejadian.

Katanya, sejurus selepas rempuhan itu, dia melihat beberapa rakannya terbaring di atas jalan dengan ada yang tidak bergerak.

Muhammad Zulfadli yang aktif dalam kegiatan berbasikal lewat malam itu sejak 2 tahun lepas turut mendakwa melihat pemandu kereta terbabit menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Remaja yang bekerja sebagai tukang cat itu patah kaki kanan akibat kejadian itu, bagaimanapun dia bersyukur terselamat.

Seorang lagi mangsa cedera, Muhamad Farhan Che Mat, 16, dari Taman Desa Cemerlang turut mendakwa kereta terbabit dipandu laju.

“Saya sedang menunggu rakan di lokasi itu. Saya juga tidak sempat mengelak. Sejurus kemudian, ada orang membantu saya yang sudah dalam keadaan terbaring,” katanya.

Muhamad Farhan yang sudah tidak bersekolah berkata, dia meminati aktiviti itu sejak berumur 12 tahun dan kerap mengikuti kegiatan berbasikal ke Dataran Bandaraya Johor Bahru, setiap Jumaat.

“Saya tinggal bersama ibu bapa dan keluar rumah kira-kira 11 malam tadi dengan mengayuh basikal yang dipinjam daripada seorang kawan,” katanya.

Anak bongsu daripada 2 beradik itu patah kaki kanan dan luka di kaki kiri.

Kejadian kira-kira 3 pagi itu mengakibatkan 8 maut, 2 kritikal dan 6 cedera.

Selain Muhammad Zulfadli dan Muhamad Farhan, 4 lagi mangsa cedera ialah Mohammad Arasshat Abdullah, 14; Mohd Abdul Samad Abdul Kadir, 16; Muhammad Arif Salman, 15 dan Muhammad Fitri Muhammad Fatoni, 17 yang semuanya ditempatkan di wad sama.

Malang berbasikal tengah malam dekat kubur, 8 remaja maut

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.