
“Ramainya orang mengalahkan konsert rock 80-an, syukur bermula tahun 2000 semakin ramai yang mendekati majlis agama,” kata Azhar ketika memulakan ceramahnya yang diiringi gelak tawa peserta petang tadi.
Beliau berkata, Himpunan RUU 355 adalah perhimpunan agama bagi menunjukkan usaha rakyat menegur pemerintah melaksanakan hukuman sewajarnya bagi melindungi keamanan negara.
“Kita sebagai rakyat berhimpun dan berkumpul bertujuan menegur pemerintah supaya melaksanakan undang-undang yang betul, bukannya membiarkan jenayah berleluasa.
“Kita berhimpun bukan kerana politik, kalau kita pakai baju hijau jadi PAS, kalau pakai baju biru jadi BR1M, tapi kita pakai baju ungu sebab ini bukan himpunan politik, tapi agama,” katanya.
Mengulas segelintir agamawan tidak bersetuju dengan RUU 355, Azhar berkata, ia disebabkan hati mereka belum boleh menerima undang-undang itu.
“Segelintir ustaz dari Jordan tak setuju dengan RUU 355. Manusia yang jadi payah bukan sebab rupa paras, fizikal, tetapi hatinya payah untuk menerima.”
Ceramah Azhar hampir 2 jam itu mengakhiri sesi petang Himpunan RUU 355 itu.
Himpunan RUU 355 hari ini dianjurkan PAS dan beberapa kumpulan Islam bagi menunjukkan sokongan terhadap RUU persendirian yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah Islam.
Satu lagi himpunan balas dinamakan “Himpunan Rakyat Tolak Usul Hadi” anjuran NGO dikenali sebagai Bebas diadakan di Petaling Jaya, bagi menghimpun umat Islam dan bukan Islam untuk membantah RUU 355.
RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu oleh Hadi. Pada 24 November lalu, Hadi meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang berikut pada Mac ini bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadapnya RUU itu.
Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.