Jenazah ibu Azmin Ali selamat dikebumikan

Jenazah ibu Azmin Ali selamat dikebumikan

Majlis tahlil akan diadakan di kediaman Azmin malam ini selepas solat Isyak.

azminali_mother
KUALA LUMPUR:
Jenazah Che Tom Yahaya, 82, ibu kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate Baru, kira-kira 11 pagi tadi.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar KPJ Damansara pada jam 2.14 pagi tadi akibat serangan angin ahmar.

Azmin berkata, ibunya sebelum ini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi hospital tersebut pada 10 Oktober tahun lalu apabila mengalami serangan angin ahmar buat kali pertama.

“Pada Sabtu lepas, beliau diserang angin ahmar kali ke-2, kali ini serangan itu agak serius dan kritikal.

“Beliau ada rekod sakit jantung dan menjalani rawatan berkala di IJN (Institut Jantung Negara), tetapi tidak serius sehingga diserang angin ahmar,” katanya selepas urusan pengebumian ibunya dekat sini.

Timbalan presiden PKR berkata, majlis tahlil akan diadakan di kediamannya malam ini selepas solat Isyak.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menziarah dan menunaikan solat jenazah.

Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Ibu MB Selangor meninggal dunia

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.