BN menang PRK Tanjung Datu dengan majoriti lebih banyak

BN menang PRK Tanjung Datu dengan majoriti lebih banyak

Jamilah meraih 551 undi lebih banyak daripada undi diperolehi Adenan pada PRN Sarawak tahun lalu.

jamilah-tanjung-datu
LUNDU: Puan Sri Jamilah Anu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu, hari ini, dengan majoriti 6,443 undi.

Wanita berusia 61 tahun itu mendapat 6,573 undi, iaitu 551 undi lebih banyak daripada undi diperolehi suaminya, Tan Sri Adenan Satem pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11, Mei tahun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika mengumumkan keputusan itu berkata, Jamilah mengalahkan 2 pencabarnya daripada Parti Reformasi Negeri Sarawak (Star), Johnny Aput dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Rapelson Richard Hamit yang masing-masing sekadar mendapat 108 undi serta 130 undi.

Kedua-dua calon pembangkang itu hilang deposit mereka mengikut peraturan SPR kerana gagal mendapat satu perlapan daripada jumlah undi.

SPR memaklumkan 69.2% pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka, jumlah itu lebih rendah daripada sasaran 75%.

Sebanyak 80 undi rosak dicatatkan. Pada PRN tahun lalu, Tanjung Datu mencatat jumlah kehadiran pengundi sebanyak 70.10%.

Terdapat 9,771 calon layak mengundi di Tanjung Datu.

Bagi Jamilah daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), kemenangan besar itu adalah pengesahan sokongan rakyat terhadap dasar ditetapkan suaminya.

Jamilah bukan balu penyandang yang pertama dipilih BN untuk menggantikan suaminya.

Tahun lalu, Mastura Mohd Yazid bertanding dan menang di PRK Parlimen Kuala Kangsar, selepas suaminya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad meninggal dunia dalam nahas helikopter ketika berkempen untuk PRN Sarawak.

PRK Tanjung Datu diadakan susulan kematian penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak ke-5, Adenan akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lalu, di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.

Pada PRN Sarawak ke-11, Adenan menewaskan calon PKR, Jazolkipli Numan yang sekadar mendapat 468 undi dengan majoriti 5,892 undi.

Adenan meninggal dunia 8 bulan selepas mengetuai BN memenangi 72 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Sarawak ke-11.

Adenan julung kali memenangi kerusi DUN Tanjung Datu pada PRN Sarawak ke-9, pada Mei 2006.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.