
Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, Jong-nam ialah orang yang sama dengan pemilik pasport menggunakan nama Kim Chol.
Identiti itu disahkan berdasarkan pasport itu, yang menurutnya adalah tulen.
Beliau berkata, Jong-nam menggunakan 2 identiti berbeza bagi tujuan penyamaran dan dokumen itu adalah tulen.
“Identiti beliau disahkan daripada pasport yang kami bandingkan dengan dokumen dikeluarkan Kedutaan Korea Utara dan menerusi identiti dikeluarkan kedutaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan dialog meja bulat dengan pemimpin industri mengenai pekerja asing, hari ini.
Ditanya sama ada polis sudah mengenal pasti lelaki Korea Utara itu menerusi DNA lelaki itu, Zahid berkata, pihak berkuasa hospital dan polis akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu kerana ia merupakan soal pengurusan.
Beliau berkata, kerajaan akan memberi kerjasama terhadap sebarang permintaan daripada pihak Korea Utara untuk menuntut mayat, mengikut prosedur operasi standard.
“Mayat akan diserahkan kepada waris atau kedutaan selepas semua prosedur polis dan perubatan selesai.
“Setakat ini, (tiada) sebarang permohonan rasmi (daripada waris) tetapi mereka (keluarga) mungkin menyalurkan permohonan mereka kepada pihak kedutaan Korea Utara,” katanya.
Ditanya jika mayat itu akan diserahkan selepas autopsi dijalankan, Zahid berkata: “Ya, kita perlu patuhi prosedur perubatan, terutamanya bahagian forensik.”
Ditanya sama ada kematian Jong-nam dikategorikan sebagai mati mengejut atau dibunuh, beliau berkata, ia merupakan perkara operasi dan polis akan memberikan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.
Dalam pada itu, Zahid berkata, kematian itu tidak menjejaskan hubungan dua hala antara Korea Utara dan Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan dan memperkukuh hubungan diplomatik dengan mana-mana negara yang mempunyai pejabat kedutaan mereka di Malaysia.
“Kita akui hubungan diplomatik akan diperkukuh dan kita akan memberikan kerjasama sekiranya mereka menghadapi sebarang masalah berkaitan keselamatan mereka di negara kita,” katanya.