
Prosiding tahanan reman 2 wanita itu diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, hari ini, dengan Majistret Sepang, Sharifah Muhaymin Abd Khalid tiba di IPD itu pada jam 10.30 pagi dengan menaiki kereta peronda polis.
Polis melarang wartawan memasuki kawasan IPD dan tidak dibenarkan mengambil gambar balai polis itu dengan anggota polis di dalamnya.
Sharifah yang lengkap berjubah majistret meninggalkan IPD itu kira-kira 30 minit kemudian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat berkata, 2 suspek itu direman seminggu, bermula hari ini bagi membantu siasatan kes itu.
Terdahulu, ketua polis negara mengesahkan suspek wanita ke-2 yang bersendirian ditahan pada jam 2 pagi tadi di sebuah lokasi tidak didedahkan.
Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataan hari ini berkata, suspek ke-2 itu bernama Siti Aisyah, berusia 25 tahun dan dilahirkan di Serang, Indonesia.

Katanya, wanita itu memiliki pasport Indonesia.
Semalam, polis menahan seorang wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, ketika bersendirian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 8.20 pagi, sebelum sempat menaiki pesawat ke Vietnam.
Kim Chol yang dilaporkan media asing sebagai Kim Jong Nam, adalah abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.
Jong Nam tiba di Malaysia pada 6 Februari lalu dan dilaporkan berada di klia2 pada 8 pagi Isnin lalu untuk menaiki penerbangan ke Macau sejam kemudian.
Bagaimanapun, media melaporkan 2 perisik wanita menghampirinya, dengan salah seorang menyembur sejenis cecair dan seorang lagi menggunakan sapu tangan menutup mulutnya hampir 10 saat, sebelum meninggalkan klia2.
Jong Nam dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dari klia2 selepas mengadu kurang sihat.