Selepas dibidas mahu haramkan kapcai, Ku Nan beri minyak percuma

Selepas dibidas mahu haramkan kapcai, Ku Nan beri minyak percuma

Sebanyak 200 motosikal menerima petrol percuma pada hari pertama program itu.

tengku-adnan
PUTRAJAYA:
Sebulan selepas melontarkan idea mengharamkan motosikal kapcai daripada memasuki pusat bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam melancarkan program minyak percuma untuk motosikal di kawasan Parlimen diwakilinya di sini.

“Program ini telah diadakan dua kali di Labuan, diikuti di Bandar Tun Razak, Segambut, Bukit Bintang, Setiawangsa dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur dan ia akan diperluaskan ke kawasan lain secara berperingkat.

“Inisiatif ini akan diperluaskan lagi, dan akan diteruskan bergantung kepada keadaan ekonomi semasa,” kata menteri Wilayah Persekutuan itu dipetik Bernama.

Di bawah program tajaan Pemuda Umno Putrajaya itu, penduduk Putrajaya yang menggunakan motosikal 150cc ke bawah boleh mendapatkan petrol percuma 2 kali sebulan

Semalam, sebanyak 200 pemilik motosikal menerima petrol percuma.

Tengku Adnan sebelum ini menerima kritikan daripada pelbagai pihak selepas mencadangkan pengharaman motosikal berkuasa rendah atau kapcai daripada pusat bandar Kuala Lumpur.

Menurutnya, ia usaha mengurangkan pencemaran selain menangani jenayah ragut yang sering menggunakan kenderaan itu.

Beliau kemudian dilaporkan berkata ia sekadar cadangan.

“Kami merasai nadi rakyat, kalau rakyat tak mahu, kami akan ikut pandangan rakyat, jadi pengguna motosikal ‘kapcai’ jangan bimbang dan kita tidak akan laksanakannya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.