Malang, gadis Rohingya jadi pengantin kanak-kanak di Malaysia

Malang, gadis Rohingya jadi pengantin kanak-kanak di Malaysia

Imam Rohingya kendalikan pernikahan, dan walaupun sijil nikah dikeluarkan, tetapi tidak menunjukkan ia dokumen yang sah di bawah undang-undang Malaysia.

rohinya_gadis_wedding_600
KUALA LUMPUR:
Gadis kecil bertudung biru itu menahan tangis ketika mengenang kembali apa yang berlaku ketika dia lari ke Malaysia dari wilayah bergolak Rakhine di Myanmar.

Ketika itu dia baru 12 tahun, dan dipaksa berkahwin dengan lelaki tidak dikenalinya, dan umurnya sedekad lebih tua daripadanya.

Remaja itu kini berusia 13 tahun, tidak dinamakan kerana masih di bawah umur, sama nasibnya dengan ratusan lagi kanak-kanak perempuan Rohingya yang berjaya lari daripada keganasan dan suasana seperti aparteid di Rakhine.

Tetapi akhirnya mereka dijual menjadi pengantin perempuan kepada lelaki Rohingya di Malaysia, kata kumpulan dan masyarakat .

Terpisah daripada keluarga ketika lari ke Malaysia, gadis itu berkata dia tertangkap oleh penyeludup yang menahannya selama berminggu-minggu di kem kotor di dalam hutan berhampiran sempadan Thailand-Malaysia , bersama ratusan yang lain.

Penangkapnya memberitahu seorang lelaki Rohingya sanggup membebaskannya jika dia bersetuju berkahwin.

“Ejen (penyeludup) itu kata saya sudah dijual kepada seorang lelaki dan saya tanya bagaimana mereka boleh buat begitu? Hati saya berat dan saya sangat takut,” katanya dalam satu temu bual di Kuala Lumpur.

Reuters tidak dapat mengesahkan beberapa aspek ceritanya tetapi ibu mangsa mengesahkan dia ditahan di kem itu selama beberapa minggu sebelum dibebaskan.

Nasib gadis itu hanya satu daripada pelbagai kesukaran dihadapi ramai Rohingya, kumpulan minoriti di Myanmar yang dianggap kerajaan negara itu sebagai pendatang asing dari Bangladesh, menyebabkan kelayakan hak mereka terhad.

Sejak 2012, keganasan dan pergaduhan kaum menyebabkan ribuan Rohingya terbunuh sementara ribuan lagi lari, menjadi pelarian di negara jiran seperti Malaysia, Thailand, Indonesia dan Bangladesh.

Dalam kekerasan akhir-akhir ini, pasukan keselamatan polis melakukan pembunuhan beramai-ramai dan rogol berkumpulan serta kampung di utara Rakhine dibakar, menurut siasatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, awal bulan ini.

Malaysia dikritik

Menjadi kelaziman untuk wanita Rohingya lari dari Myanmar dan berkahwin lelaki Rohingya di negara lain, biasanya menerusi perkahwinan diatur keluarga, kata kumpulan hak asasi manusia. Sesetengah perkahwinan yang diatur ini membabitkan gadis bawah umur.

Tetapi jumlah mangsa pemerdagangan manusia semakin ramai apabila penyeludup menjual wanita dan kanak-kanak perempuan kepada lelaki Rohingya untuk dijadikan pengantin.

Matthew Smith yang juga pengarah eksekutif Fortify Rights, kumpulan perlindungan pelarian dan pendatang berpangkalan di Asia Tenggara berkata, kumpulan itu melihat peningkatan ketara jumlah pengantin kanak-kanak susulan keganasan di Rakhine.

Tidak ada statistik rasmi tentang bagaimana gadis dijual untuk dikahwinkan. Pada 2015, Suruhanjaya PBB untuk Pelarian menerusi laporannya berkata ia mengenal pasti 120 pengantin kanak-kanak Rohingya di Malaysia tetapi tidak jelas berapa ramai yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak beberapa bulan lalu dengan lantang menentang tindakan Myanmar yang majoriti Buddha dalam menangani keganasan di Rakhine dan nasib etnik Rohingya.

Tetapi kumpulan hak asasi manusia berkata Malaysia yang belum menandatangani konvensyen pelarian PBB, bersubahat dalam penderaan suaka politik Rohingya kerana mereka dilayan sebagai pendatang haram tanpa akses kepada pekerjaan secara rasmi, penjagaan kesihatan atau pendidikan.

Mereka hidup dalam kemiskinan, bekerja secara haram di restoran atau tapak pembinaan.

Kerajaan Malaysia pada bulan ini melancarkan projek yang membolehkan 300 Rohingya diambil bekerja, satu langkah yang amat dialu-alukan kumpulan hak asasi manusia.

Perkahwinan kanak-kanak dibenarkan

Perkahwinan kanak-kanak juga diterima dalam negara majoriti Islam di Malaysia. Di bawah undang-undang Islam, gadis Islam di bawah usia 16 tahun boleh berkahwin dengan kebenaran mahkamah syariah, tetapi dalam kes perkahwinan Rohingya di Malaysia, tidak ada pembabitan mahkamah.

Imam Rohingya akan mengendalikan pernikahan mereka dan sijil kahwin dikeluarkan tetapi tidak ada yang menunjukkan ia dokumen sah di bawah undang-undang Malaysia.

Gadis yang dikahwinkan itu dibawa ke Kuantan, di mana kemudian baru dia tahu suaminya itu suka mengongkong dan mendera. Lelaki itu merampas telefon bimbitnya dan tidak membenarkan keluarganya datang melawat. Gadis itu juga ditinggalkan sendirian berhari-hari lamanya di rumah.

Selepas 8 bulan berkahwin, gadis itu akhirnya dapat bertemu semula ibu bapa dan 4 adiknya, selepas diselamatkan oleh bapanya, yang cuba mencarinya di Kuantan.

Suami gadis itu tidak memberi respons ketika dihubungi untuk mengulas artikel ini.

Gadis itu kini tinggal bersama keluarganya di dalam pondok satu bilik di kampung kecil di pinggir Kuala Lumpur.

Walaupun dia rasa selamat sekarang, gadis itu berkata dia takut yang dia mungkin terpaksa kembali kepada suami yang enggan menceraikannya.

Sharifah Shakirah, yang juga seorang pelarian dan pengasas Jaringan Pembangunan Wanita Rohingya berkata Rohingya tidak ada status sah di Malaysia dan perkahwinan mereka tidak diiktiraf. Ini menyukarkan lagi penguatkuasaan undang-undang untuk terlibat dalam kes penderaan, meskipun ia membabitkan kanak-kanak.

“Untuk minta peguam dan polis bukan mudah mereka Rohingya tidak ada status sah. Walaupun kes membabitkan pengantin kanak-kanak dilaporkan, polis tidak akan bertindak,” kata Sharifah yang juga menyediakan bantuan serta kaunseling kepada wanita Rohingya.

Hidup bermaruah

Menurut statistik PBB, kira-kira 56,000 Rohingya tinggal di Malaysia, walaupun kumpulan pendatang asing berkata jumlah itu lebih banyak kerana ramai yang tidak didokumenkan. Masyarakat itu kebanyakannya berserakan di kawasan miskin di pinggir bandar Kuala Lumpur.

Bagi lelaki muda dalam komuniti kecil yang terasing itu, mencari teman hidup dan berkeluarga ialah cara untuk menaikkan status sosial dan menjalani kehidupan normal, kata lelaki Rohingya yang ditemu bual.

Kekurangan wanita yang boleh dikahwini dalam masyarakat Rohingya di Malaysia menyebabkan permintaan untuk pengantin, sementara sesetengah keluarga melihat perkahwinan ialah cara mengurangkan bebanan kewangan mereka, kata Belal Hossain Shamia, 32, bapa kepada 3 anak di Kuala Lumpur, di mana adiknya juga pernah menjadi pengantin kanak-kanak.

Bekas ejen pedagang manusia, seorang lelaki Rohingya dikenali sebagai Ali berkata permintaan pengantin Rohingya meningkat. Sindiket penyeludupan boleh menerima sehingga RM7,000 (AS$1,557.29) bagi setiap gadis yang diberikan keluarganya atau dijual kepada lelaki.

Ali berkawal di kem penyeludupan di hutan sempadan Thailand-Malaysia. Katanya wanita dan gadis yang mengembara sendirian atau keluarganya tidak mampu membayar pembebasan mereka, akan dijual.

“Mereka berumur antara 15 atau 16 tahun. Mereka tidak ada pilihan,” katanya.

Yasmin Zokir Ahmad, 18, berkata suaminya, seorang lelaki Rohingya yang bekerja sebagai pemotong rumput di Kuala Lumpur, mengahwininya selepas membayar RM3,500 kepada ejen, 2 tahun lalu.

“Saya tidak ada pilihan. Saya perlu mengahwininya kerana perlukan sokongan dan perlindungan, dan saya mahu hidup dengan bermaruah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.