
“Sebelum dilaksanakan hukum hudud, beri makan kepada orang lapar, sediakan pekerjaan kepada penganggur, ajarkan orang yang jahil dan latih pekerja…ini mesti dilakukan sebelum melaksanakan hudud,” kata Qaradawi dalam wawancara dengan Al Jazeera yang dimuat naik ke laman Facebook Asri.
Qaradawi, ulama kelahiran Mesir berpengkalan di Qatar, adalah antara tokoh kontemporari Islam yang menjadi sumber rujukan pelbagai isu semasa dari aspek syariah dan fiqh.
Video bertarikh Januari 2011 itu dimuat naik Asri ketika hangat perang mulut beliau dengan PAS, selepas Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali, menyerangnya kerana mempersoalkan usaha melaksanakan hukum hudud di Malaysia.
Asri ketika berucap pada sebuah forum mengenai hudud Ahad lalu mempertikaikan hujah sesetengah penyokong undang-undang syariah yang menganggap melaksanakan hukum hudud akan menunjukkan keindahan Islam.
Ia menerima jawapan keras daripada Khairuddin, yang mendakwa Asri mengelirukan umat Islam, di samping cuba mengambil pendekatan golongan “liberal” yang menentang pendirian PAS.
Semalam, Asri sekali lagi menyerang pengkritiknya, dan mengingatkan bagaimana agama diperalatkan bagi tujuan politik.
“Ketika anda memenangi beberapa negeri dahulu anda menyatakan hudud bukan keutamaan. Bahkan anda menyatakan ‘selesai masalah pengangguran dulu baru hudud’. Kemudian anda menyatakan sesat, liberal ataupun anti-Islam sesiapa yang mengungkapkan hal yang sama,” tulis Asri dalam kenyataan yang jelas ditujukan kepada PAS.
Dalam video yang dimuat naik hari ini, Qaradawi berkata hudud tidak boleh dilaksanakan selagi masyarakat Islam belum dibangunkan dengan nilai murni di samping lapangan lain.