Guru tadika ditahan bersama dadah RM80,000

Guru tadika ditahan bersama dadah RM80,000

Dadah yang dirampas ialah jenis syabu dan pil ecstasy.

stanley-johnathan-ringgit__polis_wanita_600
MIRI:
Polis merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM80,000 serta menangkap 2 wanita tempatan, termasuk seorang guru tadika swasta dipercayai pengedar dadah, semalam.

Timbalan Ketua Polis Miri, Supt Stanley Johnathan Ringgit berkata, kedua-dua wanita tersebut adalah warga tempatan berumur 32 dan 36 tahun dengan pelbagai dadah dianggarkan lebih 400g dirampas dalam serbuan pada jam 1 tengah hari.

“Dadah yang dirampas ialah jenis syabu dan pil ecstasy,” katanya dalam sidang media hari ini.

Stanley berkata, kedua-dua dadah tersebut dirampas di dalam kereta Perodua Myvi milik seorang daripada suspek dan ditemui dalam sebuah rumah sewa suspek di Vista Perdana, Permyjaya.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Stanley berkata, polis menahan seorang wanita warganegara Indonesia dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dengan menyembunyikan dadah di dalam colinya.

“Suspek berusia 26 tahun dan didapati menyembunyikan dadah jenis syabu seberat 30.06g yang dibungkus dalam peket kecil bernilai RM3,000 di dalam coli dipakainya,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan suspek terbongkar apabila suspek mengadu sakit perut dan dikejarkan ke Hospital Miri pada 10.44 malam Ahad lepas.

Katanya, sewaktu pemeriksaan dilakukan, dadah tersebut ditemui disembunyikan di dalam coli suspek oleh pegawai perubatan di Hospital Miri.

“Suspek sedang mendapat rawatan untuk kandungan di luar rahim dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.