PBDS Baru pertahan calon OKU terima bantuan kerajaan

PBDS Baru pertahan calon OKU terima bantuan kerajaan

Parti pembangkang berkata hanya kerana calonnya terima bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri tidak bermakna beliau tidak boleh memperjuangkan kepercayaannya.

rapelson-pbds2
KUCHING: Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) mengutuk kenyataan menteri BN apabila berkata calon kelainan upayanya dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, sebagai tidak mengenang budi kerana bertanding di kerusi Tanjung Datu.

Rapelson Richard Hamit, yang menjadi calon PBDS Baru bagi kerusi DUN itu, ialah penerima bantuan bulanan sebanyak RM500 untuk individu OKU daripada JKM negeri.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim berkata keputusan Rapelson untuk bertanding menentang calon BN Puan Sri Jamilah Anu, yang juga balu Tan Sri Adenan Satem, ketua menteri sebelum ini, menunjukkan beliau tidak bersyukur pada kerajaan.

“Kami tidak membantah sesiapa yang hendak bertanding, tetapi saya sedih melihat penerima bantuan bulanan menentang kerajaan pemerintah,” kata Rohani ketika berucap di satu majlis di Lundu semalam.

Dalam responsnya hari ini, PBDS Baru berkata komen Rohani itu “tidak wajar”.

“Hanya kerana Rapelson ialah penerima bantuan kewangan JKM, ia tidak bermakna Rapelson tidak ada hak untuk memperjuangkan apa yang beliau rasa betul,” kata parti itu dalam satu kenyataan.

Parti itu berkata Rapelson bertanding untuk memperjuangkan hak milik tanah Hak Adat Orang Asli (NCR).

“Daripada menyindir Rapelson sebagai tidak menghargai bantuan diberi JKM, menteri itu patut melihat situasi ini daripada perspektif lain, iaitu Rapelson menjadi suara rakyat dan semua pemilik tanah NCR keseluruhannya.

“Hanya kerana individu itu dibantu kerajaan, ia tidak bermakna mereka perlu senyap jika ada yang tidak kena berlaku dalam masyarakatnya.

“Rapelson patut dipuji kerana walaupun OKU, beliau masih sanggup berjuang untuk apa yang betul dan beliau tidak sepatutnya dikutuk kerana menyuarakan haknya sebagai rakyat Sarawak,” katanya.

Pertandingan 3 penjuru dijangka berlaku pada pilihan raya kecil kerusi itu yang akan diadakan Sabtu ini, dengan satu lagi calon parti pembangkang Sarawak Reform Party.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.