
Seorang pemandu Grab, Mohd Kamarul Faisal Kamarulzaman, 41, mendakwa ada segelintir pendapatan pemandu Grab dipotong RM1,100 sehingga RM1,600 sebulan.
Jadi, beliau mempersoalkan tindakan Grab memotong pendapatan mereka lebih daripada sepatutnya tanpa sebarang penjelasan.
“Kalau tak terima 1 job (pelanggan), dia potong RM1. Jadi dalam tempoh seminggu, kita tidak boleh ignore sampai seribu lebih (pelanggan).
“Kalau sehari kita paling banyak boleh dapat 50 pelanggan, kita ignore 25 dan kita ambil 25 (pelanggan). Tetapi, kalau kita kira balik dalam masa 1 minggu, adakah boleh mencapai amaun macam itu?” katanya pada sidang akhbar yang dihadiri lebih 100 pemandu Grab dan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) di Bangsar, hari ini.
Beliau berkata, bagaimana pemandu Grab hendak menyara keluarga jika pendapatan dipotong sebanyak itu kerana ada di kalangan mereka yang terpaksa menyewa atau membeli kereta baru dan hanya bekerja dengan Grab sahaja.
Hasil semakan FMT di Grab.com mendapati, dasar penolakan itu diguna pakai ke atas pemandu Grab sepenuh masa dan mereka perlu mengambil sekurang-kurangnya 85% penumpang yang dicadangkan aplikasi telefon pintar.
RM1 akan ditolak daripada pendapatan pemandu untuk setiap pembatalan kerana gagal menjalankan tugas.
Seorang lagi pemandu Grab berusia 37 tahun yang enggan dikenali berkata, syarikat itu memotong pendapatannya sehingga RM200 setiap minggu.
Sehubungan itu, beliau berkata, ada di kalangan pemandu Grab bercadang berhenti kerana pendapatan mereka semakin berkurangan akibat dipotong syarikat itu.
“Dalam 2 minggu ini, pemandu dapat mesej mengatakan kalau kita tidak ambil penumpang, kita akan dipotong RM1. Saya harap pihak Grab mengkaji semula apa yang berlaku sekarang,” katanya sambil menambah Grab memaklumkan jumlah penumpang dan caj ditolak daripada pendapatan mereka menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS).
Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah memberi masa seminggu kepada Grab menyelesaikan perkara itu atau mereka akan membuat laporan polis, jika tiada tindakan susulan daripada syarikat terbabit.
“Jangan mangsakan pemandu Grab kerana harga pemanduan ditentukan Grab.”