Daripada dunia peragaan, 2 beradik kini usahawan fesyen

Daripada dunia peragaan, 2 beradik kini usahawan fesyen

Mereka berhasrat memberi gaya, inspirasi dan memperkasakan wanita dengan fesyen.

model
SUBANG JAYA: Melihat peluang perniagaan dalam pasaran fesyen antarabangsa dan bersandarkan keyakinan, 2 adik-beradik memberanikan diri melancarkan laman web menjual beg tangan dan aksesori jenama sendiri.

Menjadikan model sebagai profesion, Sim Li, 27, dan Sim Hui, 25, mengambil keputusan menceburi bidang perniagaan fesyen yang mencabar selepas melawat pameran pengeluar di China.

Menganggap diri mereka sebagai fesyenista secara semula jadi – Hui yang biasa dengan peragaan tempatan, termasuk KL Fashion Week – pasangan usahawan berdaya usaha ini memilih nama Livlola bagi memasarkan beg tangan yang diimport dan aksesori untuk memenuhi keperluan wanita berusia 20-an.

“Liv bermakna kehidupan. Lola adalah bahasa Sepanyol yang membawa makna wanita yakin. Dipadankan bersama, Livlola bermakna hidup dengan sepenuhnya dalam keadaan diri anda yang paling selesa dan berbangga dengannya,” kata Hui.

Li dan Hui menjelaskan wanita tidak perlu takut mengambil risiko dan “menikmatinya”.

“Ia juga mengapa beg tangan kami sangat berwarna-warni dan bukan hanya hitam dan putih. Kami mahu wanita sentiasa menambah sedikit warna dalam kehidupan mereka dan tidak takut mengambil langkah besar, terutamanya yang ingin menjadi usahawan,” kata Hui.

Mengambil inspirasi daripada bapa mereka, seorang usahawan, kedua-duanya berkata, tiada apa lebih memuaskan daripada “menyaksikan jenama anda sendiri berkembang”.

“Ayah mendorong kami dengan kuat untuk mengeluarkan potensi diri kami. Mempunyai kerja korporat adalah hebat tetapi beliau memberitahu kami perlu mempunyai sesuatu yang menjadi milik kita sendiri – sesuatu yang bermula dari awal dan melihatnya berkembang.

Hui mengakui seorang usahawan berhadapan dengan pelbagai cabaran tetapi beliau menerimanya sebagai tekanan yang positif.

“Oleh kerana anda melakukannya untuk diri sendiri, ia sangat berbeza dengan tekanan bekerja bagi sebuah syarikat,” katanya.

“Tetapi ia boleh menjadi jalan sunyi. Orang lain seolah-olah mempunyai kehidupan sempurna dengan pekerjaan yang stabil berbanding anda. Sebagai seorang usahawan, anda bergantung pada diri sendiri dengan sumber terhad yang ada, sentiasa mengurangkan kos … dan apabila gagal, ia mengambil masa agak sedikit untuk kembali ke landasan.”

Beliau berkata ia penting untuk berdiri semula, tidak kira betapa besar rintangan yang datang.

Li berkata dorongan dan ketekunan merupakan 2 ciri penting bagi seorang usahawan dan juga keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan serta cabaran.

“Anda perlu mampu hidup miskin beberapa bulan, tahun. Apabila anda bermula, ibu bapa tidak akan bersetuju dengannya. Itu biasa kerana ibu bapa mahu anda mempunyai pekerjaan yang stabil.”

Bagaimanapun, katanya kebanyakan ibu bapa akan mula menerima apabila melihat sendiri kemampuan anak mengekalkan perniagaan dengan memuaskan.

Bagaimanapun, bagi kedua-dua gadis ini, Livlola kini bukan sekadar perniagaan – mereka melihatnya sebagai satu bentuk kuasa.

“Saya percaya makna memperkasakan wanita kini berbeza berbanding 10 tahun lalu.

“Hari ini, kita lihat banyak wanita memegang jawatan tinggi dalam korporat, yang tidak pernah kita dengar 10 tahun lalu.

“(Wanita) keusahawanan semakin meningkat. Jika anda seorang wanita dan mempunyai minat yang ingin anda jadikan perniagaan, cubalah.

“Adalah penting bagi wanita untuk menonjolkan diri,” kata Hui.

Li berkata, mereka memperoleh sumber ilham daripada ramai wanita berjaya yang memegang jawatan tinggi dalam dunia korporat hari ini.

“Mereka memberi kami kekuatan untuk membina jenama sendiri. Kami berharap dapat melakukan perkara yang sama untuk wanita lain.”

Untuk gaya, inspirasi dan banyak beg tangan, lawati www.livlola.com.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.