20 hotel bajet tak berlesen di Miri jadi ‘perangkap maut’

20 hotel bajet tak berlesen di Miri jadi ‘perangkap maut’

Kebanyakan hotel tidak menyediakan tangga keselamatan, tiada sistem pencegahan kebakaran dan jika adapun, ia tidak berada dalam keadaan baik.

mirihotel
MIRI:
Hotel tidak berlesen mungkin menjadi pilihan pelancong bajet di sini, namun ramai yang tidak tahu kebanyakan pusat penginapan terbabit juga merupakan perangkap maut.

Perkara ini berdasarkan pemeriksaan mengejut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri dan Majlis Bandaraya Miri ke atas 20 hotel tidak berlesen baru-baru ini yang mendapati hanya satu hotel mematuhi semua aspek keselamatan yang ditetapkan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua JBPM Miri Law Poh Kong berkata dalam pemeriksaan yang dijalankan dari 7 hingga 10 Feb lepas, hotel terbabit mempunyai 20 bilik ke atas dengan kebanyakannya tidak mematuhi Ordinan Bangunan Sarawak 1994 dan Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

“Antara kesalahan yang dilakukan pengusaha hotel tidak berlesen ialah tidak menyediakan tangga keselamatan, tiada sistem pencegahan kebakaran, dan sistem pencegahan kebakaran tidak berkeadaan baik,” katanya.

Selain itu katanya bangunan juga tidak mempunyai pintu penghalang api di antara bilik hotel dan tangga keselamatan, selain gagal menghantar pelan bangunan kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan kelulusan.

Law berkata kesemua hotel yang berkenaan diberi notis pematuhan akta dan setakat ini menerima respons positif daripada pemilik yang tidak mahu tragedi yang berlaku pada Januari lalu berulang.

Dalam kejadian 6 Jan itu, seorang wanita berusia 21 tahun maut selepas terjun untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran yang berlaku di bangunan kedai 6 tingkat di Jalan Merbau di sini.

Mangsa dilaporkan berbuat demikian selepas mendapati pintu menuju ke tangga keselamatan berhampiran bilik yang disewanya berkunci.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Hotel-hotel Malaysia cawangan Sarawak, John Teo Peng Yew mahu pihak berkuasa tempatan menangani isu hotel tidak berlesen yang gagal mematuhi aspek keselamatan berkenaan.

Katanya isu itu boleh mencemar imej industri pelancongan Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.