
Beliau berkata pesakit berusia 29 tahun itu yang didiagnos menghidap “Severe Pneumonia” dirawat di Unit Rawatan Rapi HTM sejak Rabu lepas dan sentiasa dipantau tahap kesihatannya.
“Setakat ini, kami percaya punca jangkitan adalah daripada bakteria Kledsiella Pneumonia A Typical, tetapi belum dapat disahkan lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang lelaki meninggal dunia pada Ahad lepas manakala seorang lagi berada dalam keadaan kritikal selepas kedua-duanya mengalami sesak nafas dan batuk teruk sebaik pulang daripada bercuti di Kajang, Selangor.
Siasatan JKN Kelantan mendapati pada 27 hingga 31 Jan lalu, seramai 39 orang kebanyakan dari Tanah Merah berkunjung ke Kajang kerana mengadakan majlis perhimpunan keluarga.
Sebanyak 11 lagi daripada anggota keluarga sama dikesan mengalami gejala demam dan batuk manakala 2 daripadanya dimasukkan ke hospital untuk pengawasan.
Dr Ahmad Razin berkata keadaan masih terkawal dan kesemua anggota keluarga yang mengikuti rombongan perjumpaan keluarga di Kajang itu dinasihatkan supaya jangan berada atau pergi ke tempat orang ramai bagi mengelakkan sebarang jangkitan.
Sementara itu, di Tanah Merah, anak saudara kepada mangsa berusia 29 tahun itu, Nazmi Iqmal Nasudin, 19, berkata hanya bapa saudaranya masih menerima rawatan manakala anggota keluarganya yang turut mengikuti rombongan ke Kajang, berada dalam keadaan sihat.