Pelajar dakwa dibelasah guru kerana tak berpakaian kemas

Pelajar dakwa dibelasah guru kerana tak berpakaian kemas

Pelajar berumur 16 tahun itu berkata, beliau tidak melawan ketika dipukul guru terbabit kerana bimbang akan dibuang sekolah.

teacher-assault-student
ALOR SETAR:
Seorang pelajar lelaki tingkatan 4 sebuah sekolah menengah di sini mendakwa dibelasah seorang guru disiplin di sekolahnya atas kesalahan tidak berpakaian kemas ketika ke sekolah, pagi semalam.

Pelajar berumur 16 tahun itu mendakwa dia ditumbuk di belakang kepala, muka dan disepak di kaki di hadapan pintu pagar sekolah, pada jam 7.40 pagi Rabu kerana tidak memasukkan baju ke dalam seluar.

Selain itu, mangsa mendakwa lehernya juga dicekak sebelum guru disiplin terbabit mengeluarkan kata-kata ugutan.

“Saya tidak melawan ketika dipukul kerana bimbang akan dibuang sekolah sebelum saya menghubungi ayah kerana mula rasa sakit pada bahagian bahu yang pernah patah Oktober tahun lalu.

“Tindakan guru itu juga membuatkan saya pening kepala sebelum ayah dan ibu datang mengambil saya pulang,” dakwanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Bapa pelajar itu pula berkata, dia terpaksa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sejurus kejadian itu, memandangkan tindakan guru itu disifatkan keterlaluan.

“Saya tidak kisah sekiranya dia merotan untuk mendidik. Tapi dia seperti samseng dengan mencekik, memukul dan menendang anak saya, dan saya tak boleh terima, biarlah polis ambil tindakan dan siasatan,” dakwanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika diminta mengulas kejadian itu berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar untuk siasatan.

Terdahulu, jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah ketika dihubungi berkata, pihaknya sedia maklum dengan kejadian itu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyelesaikannya.

“Kita juga akan mendapatkan maklumat daripada pihak sekolah terbabit untuk tindakan selanjutnya,” kata jurucakap itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.