
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh waris mangsa yang terselamat dalam kejadian itu.
“Menurutnya, semasa kejadian itu, dia (waris) menanggalkan jaket keselamatan kedua-dua mangsa yang didapatinya sudah meninggal dunia dan memberikannya kepada mangsa lain masih hidup,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, berikutan maklumat itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ke-13 hari ini diteruskan untuk mencari 2 mayat serta 3 lagi mangsa masih hilang.
“SAR pada hari ini menumpukan keluasan kawasan 350 batu nautika persegi di perairan Kota Kinabalu melibatkan 300 anggota dengan 11 aset, masing-masing 10 kapal dan bot serta sebuah pesawat,” katanya.
Dalam tragedi itu, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan 3 anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.
Setakat ini, 26 mangsa ditemui termasuk 4 yang maut.