Kami perlu 6 bulan nilai hasil kempen beg plastik, kata exco

Kami perlu 6 bulan nilai hasil kempen beg plastik, kata exco

Sekiranya tidak berpuas hati terhadap peniaga yang membekalkan beg plastik secara percuma kepada pelangganya, pengguna boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan.

Elizabeth-Wong_plastic-bag_600
PETALING JAYA:
Kerajaan negeri Selangor meminta tempoh 6 bulan bagi membuktikan keberkesanan kempen “Bebas Beg Plastik” yang dikuat kuasa mulai 1 Januari lalu.

Exco negeri, Elizabeth Wong berkata, kini baru memasuki bulan ke-2 dan pengguna perlu diberikan masa untuk menjayakan kempen itu.

“Pada saya, kita kena tunggu 6 bulan baru kita tahu bagaimana laporannya. Sebulan, 2 bulan masih baru.

“Dalam tempoh 6 bulan akan datang, kita akan buat perbandingan sama ada bilangan (penggunaan beg plastik) menurun, meningkat atau sama.

“Jadi, ia mungkin mengambil sedikit masa untuk membolehkan pengguna amalkan kempen ini. Kita beri mereka masa dan lihat apakah hasilnya,” katanya kepada FMT.

Pada 21 Disember lalu, Wong dilaporkan berkata, bekas makanan polisterina dan beg plastik tidak akan dibekalkan peniaga secara percuma mulai 1 Januari 2017.

Exco pelancongan, alam sekitar, teknologi hijau dan hal ehwal pengguna Selangor itu berkata, peniaga akan mengenakan caj minimum 20 sen kepada pengguna yang memerlukan beg plastik.

Larangan penggunaan bekas makanan polistirena dan beg plastik juga dijadikan syarat tambahan bagi peruncit memohon atau memperbaharui lesen perniagaan dan peniaga yang gagal mematuhi syarat itu akan dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Sementara itu, Wong berkata, orang ramai boleh mengadu kepada PBT jika mendapati ada peniaga yang memberi beg plastik secara percuma kepada pelanggan.

“Siapa yang nampak dan rasa tidak patut boleh buat aduan kepada PBT, tetapi bukan (buat aduan) di pejabat saya,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan FMT mendapati masih ada peniaga memberi beg plastik secara percuma kepada pelanggan, dengan alasan kosnya tidak tinggi dan tidak tahu kempen “Bebas Beg Plastik” dilaksanakan kerajaan negeri Selangor.

Bagaimanapun, ada peniaga bersetuju dengan keputusan kerajaan negeri melaksanakan kempen itu bagi menjaga alam sekitar.

Ada juga peniaga yang meminta diberikan tempoh kerana mengeluh masih ramai pelanggan meminta beg plastik percuma.

“Saya rasa caj 20 sen kepada pengguna itu tidak patut. Peniaga kena bagi beg plastik juga.

“Tetapi, saya setuju dengan (keputusan) kerajaan negeri Selangor membuat kempen itu demi menjaga alam sekitar. Cuma mereka (pelanggan) perlu diberi masa,” kata peniaga pasar mini, Mohd Hamdan Ahmad kepada FMT.

Beg plastik: Fomca minta Selangor cari alternatif hentikan caj 20 sen

Selangor haramkan beg plastik mulai 2017, kata exco

Kos tak mahal punca peniaga masih beri beg plastik percuma

Caj RM1 bukan 20 sen untuk beg plastik, kata aktivis

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.