
Pengusaha telekomunikasi terbesar di negara itu, Telekomunikasi Indonesia dijadual melancarkan satelit Telkom 3S, Rabu depan, bagi menggantikan satelit generasi pertama yang akan dihentikan operasinya tahun ini.
Syarikat satelit komunikasi swasta, Pasifik Satelit Nusantara (PSN) juga bercadang melancarkan satelit PSN-6 beberapa bulan lagi, manakala sebuah lagi satelit, Telkom 4 bakal dilancarkan tahun depan.
“Permintaan untuk komunikasi satelit di sini akan terus berkembang, berdasarkan hakikat Indonesia mempunyai 17,000 pulau dengan 252 juta penduduk.
“Semakin ramai menggunakan telefon bimbit, TV satelit atau jalur lebar. Indonesia ternyata adalah pasaran amat penting dalam industri satelit global,” kata Jonathan Hung daripada Persatuan Angkasa dan Teknologi Singapura (SSTA), sebuah badan bukan kerajaan mempromosi program angkasa.
Pengerusi SSTA itu menjangkakan industri komunikasi satelit Indonesia berkembang sekurang-kurangnya 10% setiap tahun untuk beberapa tahun akan datang, susulan permintaan bagi data jalur lebar dan perkhidmatan video yang semakin meningkat.
“Perbincangan mengenai satelit dan kabel akan sentiasa wujud, tetapi di kawasan luas seperti Indonesia, satelit adalah satu-satunya cara berkesan untuk menyediakan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya yang berada di Jakarta bagi mempromosikan Konvensyen Teknologi Angkasa Global tahunan bakal dianjurkan SSTA di Singapura pada 22 hingga 24 Februari ini.
Hung berkata, satelit turut menawarkan perkhidmatan lebih selamat, boleh dipercayai dan stabil dalam penyediaan sambungan Internet, berbanding alternatif baru seperti belon altitud tinggi disarankan Google, atau dron terbang di stratosfera yang dicadangkan Facebook.
Selain sektor telekomunikasi, katanya, permintaan ke-2 terbesar untuk komunikasi satelit datang daripada pasaran korporat, terutamanya perbankan.
Tahun lalu, Bank Rakyat Indonesia (BRI) yang dikuasai kerajaan melancarkan satelit sendiri bagi mengurangkan kos sewa satelit daripada syarikat telekomunikasi serta menghubungkan cawangan dan ATM di kawasan terpencil dengan ibu pejabatnya.
Selain mengurangkan kos, BRI berkata, gangguan perkhidmatan akan pulih lebih cepat dengan adanya satelit sendiri.
Hung turut menjangkakan satelit pantau bumi akan mendapat permintaan di Indonesia dalam beberapa tahun lagi untuk memantau aktiviti kapal di laut bagi mengesan pencerobohan serta arah tiupan abu gunung api bagi memberi amaran kepada penduduk setempat.
Indonesia kini mempunyai lebih banyak pengendali satelit berbanding negara lain di Asia Tenggara dan mereka ialah Telkom, PSN, Media Citra Indostar, Indosat Ooreedoo serta BRI.
Bagaimanapun, Persatuan Telekomunikasi Indonesia (Mastel) dalam satu kenyataan berkata, ia masih memerlukan 100 transponder satelit untuk memenuhi keperluan itu dan bergantung kepada perkhidmatan pengendali satelit asing.
Menurut Mastel, kerajaan menerima permohonan hak pendaratan atau permit menerima dan memancar isyarat dari sempadannya – daripada 31 pengendali satelit asing bagi 6 bulan pertama 2016, 2 kali ganda berbanding tempoh sama pada 2015.