
Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, punca utama kadar kemalangan jalan raya meningkat pada operasi kali ini disebabkan sikap pemandu.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berwajib meningkatkan tahap kesedaran pemandu sekaligus memastikan kemalangan jalan raya dapat dikurangkan.
Katanya, jumlah kematian yang dicatatkan sepanjang Op Selamat 10 mulai 21 Januari hingga 5 Februari lalu berkurangan kepada 235 kematian berbanding 261 kematian ketika operasi sama tahun lalu.
Katanya, penurunan itu berpunca daripada pendekatan “penguatkuasaan penuh” dan “servis”.
“Tumpuan utama ialah kesalahan menjurus ke arah kemalangan seperti memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong barisan dan tidak mematuhi lampu isyarat,” kata pada sidang media sempena Majlis Penutupan Op Selamat 10/2017 Sempena Tahun Baru Cina di Bukit Aman, pagi tadi.
Katanya, jumlah kemalangan jalan raya sebaliknya meningkat 6% atau 1,180 kes, daripada 19,572 kes pada 2016 kepada 20,752 kes sepanjang Op Selamat 10.
Bulan lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, walaupun lebih 7,000 kematian yang berlaku di jalan raya tahun lalu adalah rekod kematian tertinggi dalam tempoh 5 tahun ini, namun nisbah kematian kepada kenderaan sudah menurun.
Katanya, walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah kematian, nisbah 4 hingga 5 kematian bagi setiap 10,000 kenderaan sudah menurun kepada 2.5 kematian bagi jumlah sama kenderaan.
Menteri pengangkutan pertahan rekod walau 7,000 mati di jalan raya