Bersuara bukan campuri urusan fatwa, kata exco

Bersuara bukan campuri urusan fatwa, kata exco

Abdul Malik Abul Kassim berkata Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang memulakan dialog dengan kerajaan negeri mengenai fatwa, termasuk kalimah Allah pada 2010

Abdul-Malik-Abul-Kassim-1
GEORGE TOWN:
Menyuarakan kebimbangan kerajaan negeri dalam perkara fatwa tidak boleh dianggap campur tangan, kata exco yang dituduh mencampuri urusan penfatwaan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang.

Exco Hal Ehwal Islam Abdul Malik Abul Kassim berkata beliau bertanggungjawab menyuarakan kebimbangan kerajaan negeri di dialog fatwa kalimah Allah yang dimulakan oleh jawatankuasa tersebut pada 2010, yang melarang penggunaan 40 kalimah orang Islam oleh orang bukan Islam.

Selepas pandangan kerajaan negeri disuarakan, jawatankuasa fatwa tetap mendapatkan fatwa kontroversi itu diluluskan dan kerajaan Pulau Pinang menghormati keputusan itu.

“Saya tidak pernah mengarahkan jawatankuasa fatwa menukar keputusan fatwa-fatwa mereka.

“Saya cuma meminta perbincangan diadakan, bersama kehadiran pegawai kerajaan negeri, dengan harapan mereka menimbangkan kebimbangan kami.

“Begitulah amalan jawatankuasa fatwa, yang selalu mengundang pihak yang membantah mana-mana fatwa untuk bermuzakarah,” kata Malik dalam kenyataan hari ini.

Malik berkata selepas perbincangan dilakukan dan kebimbangan kerajaan negeri dipertimbangkan, jawatankuasa tetap mendapatkan fatwa itu diluluskan.

“Kerajaan negeri menghormati dan menerima keputusan itu.

“Mengadakan perbincangan baharu atau meminta fatwa dikaji semula juga tidak bermakna kerajaan negeri mencampuri urusan penfatwaan,” kata Malik.

Baru-baru ini, PAS mendakwa kerajaan Pulau Pinang mencampuri urusan jawatankuasa fatwa, dan mendakwa beberapa fatwa ditangguhkan akibat campur tangan itu.

PAS juga mendakwa semua fatwa perlu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diluluskan, tetapi MMKN menjelaskan fatwa dibawa ke perhatian mereka sebagai makluman.

PAS mendakwa kerajaan negeri merampas kuasa Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang.

Hari ini, seorang ahli jawatankuasa Md Saleh Ahmad, menyokong dakwaan itu dan berkata kerajaan negeri pernah meminta fatwa berkenaan kalimah Allah dikaji semula.

Saleh menyasarkan Malik dalam dakwaan campur tangan politik itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.