Selva Kumar dilarang ke Sabah, kata ketua menteri

Selva Kumar dilarang ke Sabah, kata ketua menteri

Musa Aman mengarahkan Jabatan Imigresen Sabahmeletakkan bekas banduan itu dalam senarai hitam, berkuat kuasa serta-merta.

musa-aman_Selva-Kumar_60012
KOTA KINABALU:
Kerajaan Sabah melarang Selva Kumar Subbiah menjejakkan kaki ke negeri itu kerana dianggap individu berisiko tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman mengumumkan sekatan ke atas Selva Kumar dengan berkata, bekas banduan itu tidak dialu-alukan ke Sabah kerana berpotensi membahayakan orang awam, khasnya wanita dan kanak-kanak.

“Kita tidak boleh mengambil risiko dengan kehadiran individu berpotensi mendatangkan bahaya yang bebas di luar sana. Kita mesti melindungi rakyat kita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, arahan itu yang diberikan kepada Jabatan Imigresen Sabah dikuatkuasakan serta-merta.

Pada 1992, mahkamah Kanada menjatuhkan hukuman 24 tahun ke atas Selva selepas didapati bersalah atas 19 tuduhan serangan seksual, 28 pertuduhan penggunaan bahan larangan seperti dadah, dan 10 pertuduhan pelbagai serangan serta kesalahan lain.

Selva Kumar yang dipercayai melakukan serangan seksual ke atas 1,000 wanita dari 1980-an sehingga penahanannya pada 1991, selesai menjalani hukuman penjara 24 tahun di Toronto pada 29 Januari lalu dan ditahan agensi perkhidmatan sempadan Kanada sementara menunggu dihantar pulang ke Malaysia.

Dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 7.30 pagi tadi menaiki pesawat Qatar Air QR0488 dari Doha, selepas melakukan pertukaran penerbangan dari Kanada.

Menurut seorang individu yang rapat dengan ahli keluarganya, Selva Kumar akan tinggal di Kuala Lumpur dan tidak pulang ke Pulau Pinang seperti diperkatakan sebelum ini.

Media dan pihak berkuasa Kanada menyifatkannya penjenayah paling berbahaya di negara itu dan memberi amaran beliau belum berubah dan ada kemungkinan mengulangi jenayahnya.

Sehubungan itu, kepulangannya ke Malaysia mendapat pelbagai reaksi, termasuk desakan supaya dia ditahan dan dipantau polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum in berkata, walaupun tidak ada undang-undang khusus mengawal pergerakan bekas banduan seperti Selva Kumar supaya tidak menjadi ancaman awam, polis akan memantaunya “dari jauh” berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Selva Kumar pulang disambut ahli keluarga

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.