
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan memberitahu FMT yang kerajaan Selangor “mempunyai wakil” dalam mesyuarat mengenai denggi dan mereka sudah mendapatkan pemimpin masyarakat setempat untuk terbabit dalam program itu.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dilaporkan berkata, kementeriannya akan melaksanakan kaedah pelepasan nyamuk mengandungi mikroorganisme “Wolbachia” di kawasan yang dikenal pasti di Selangor tidak lama lagi bagi mengkaji impak mengurangkan kes denggi di negara ini.
Katanya, kajian projek perintis itu bertujuan memahami tingkah laku spesies nyamuk penyebar penyakit dan akan meneruskan kajian berkenaan di kawasan lain.
Bagaimanapun, Pengerusi Tetap Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Selangor, Dr Daroyah Alwi memberitahu FMT, Kementerian Kesihatan mahupun Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) tidak membuat permohonan rasmi berhubung pelepasan nyamuk itu di negeri itu.
FMT difahamkan nyamuk itu akan dibebaskan di kawasan AU2, Ampang dan Seksyen 7, Shah Alam.
“IMR tidak membuat permohonan rasmi kepada pihak berkuasa tempatan di 2 kawasan itu, iaitu Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Bandaraya Shah Alam,” kata Dr Daroyah.
Katanya, beliau akan membincang perkara itu dengan Jawatankuasa Denggi Selangor, sebelum mendapatkan keputusan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk tindakan lanjut kerajaan negeri.
Kementerian Kesihatan memberitahu FMT, mereka sudah menjalankan latihan pembabitan orang ramai dan kajian di mana 95% responden bersetuju dengan pelaksanaan program itu.
Ia turut menjelaskan penggunaan “Wolbachia” mula diperkenalkan pada Januari 2016 oleh IMR dengan kerjasama Lancaster University, United Kingdom.
Tahun lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah yang dipetik Bernama berkata, penggunaan mikroorganisme “Wolbachia” melalui suntikan ke dalam telur nyamuk Aedes “aegypti” sebagai kaedah menghalang penularan virus denggi di kalangan manusia.
Kajian menunjukkan selepas “Wolbachia” disuntik ke dalam nyamuk Aedes “aegypti”, ia mampu menghentikan virus denggi, chikungunya dan zika daripada membiak dalam nyamuk itu.