
Peguam aktivis Eric Paulsen berkata rakyat sememangnya sudah tahu ahli politik suka mengarut dan sudah menjadi tugas pembangkang untuk menjawab, tetapi perlu secara waras dan masuk akal.
“Dakwaan itu mesti dijawab oleh mereka yang tidak bersetuju dengan Tengku Adnan. Apa kena mengenanya hal itu dengan polis?” soal Paulsen.
Semalam, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng membuat laporan polis terhadap Tengku Adnan berhubung dakwaan kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin DAP tidak pedulikan orang Melayu.
Ia susulan kontroversi cadangan menteri itu untuk menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah Persekutuan, yang menerima reaksi keras daripada kerajaan negeri.
Paulsen bagaimanapun menganggap tindakan membuat laporan polis itu tidak berbeza daripada dakwaan Umno menggunakan polis untuk bertindak terhadap pemimpin pembangkang.
“Hanya kerana Umno selalu minta campurtangan polis dalam perkara hasutan yang masih boleh dipertikaikan, tidak bermakna ahli politik pembangkang perlu mengikut cara itu,” katanya kepada FMT.
Susulan laporan polis itu, Tengku Adnan berkata beliau sedia disoal siasat polis.