Jamal serah surat letak jawatan kepada Noh Omar esok

Jamal serah surat letak jawatan kepada Noh Omar esok

Dia tidak mahu dakwaan samun berkumpulan ke atasnya terpalit pada Umno

jamal-1
AMPANG:
Datuk Seri Jamal Yunos akan menyerahkan surat letak jawatan pengerusi Umno bahagian Sungai Besar kepada Ketua Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar esok.

Katanya kepada pemberita hari ini, dia menyerahkan sepenuhnya nasibnya untuk ditentukan kepimpinan tertinggi Umno negeri.

“Saya tidak mahu apa yang melibatkan saya ini terpalit pada Umno,” kata Jamal pada sidang media di kediamannya petang tadi.

Semalam, ketua gerakan Baju Merah itu mengumumkan akan melepaskan semua jawatannya dalam Umno dan Barisan Nasional, selepas dibebaskan dari tahanan reman 5 hari di IPD Ampang Jaya.

Pada 3 Februari lepas, Jamal dan 9 individu lain ditahan dalam siasatan polis ke atas dakwaan samun berkumpulan, yang timbul selepas beliau mengetuai serbuan ke atas beberapa premis permainan video di Selangor.

Serbuan itu bertujuan menonjolkan kegagalan kerajaan negeri bertindak ke atas kegiatan perjudian haram.

“Ini soal maruah. Saya sayangkan Umno dan saya rela berkorban,” kata Jamal, disambut laungan sokongan daripada ahli Umno bahagian yang hadir.

Di sidang media hari ini, Jamal berkata perbuatan mereka “mungkin melampaui batas” dari segi undang-undang, tetapi dari segi moral, dia hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat.

Dia meneruskan kritikannya terhadap kerajaan negeri Selangor, mendakwa terdapat 7,000 pusat hiburan keluarga di negeri itu yang disalahgunakan untuk tujuan perjudian.

“Dari 29 Disember sampai minggu lepas ketika saya di tahan, kalau tak silap saya 28 lesen baru di Ampang,” dakwanya.

Ahli perniagaan itu terkenal dengan tindak-tanduk yang menarik perhatian media.

Beberapa bulan lepas, beliau meletakkan 10 katil di luar bangunan urusetia kerajaan Selangor dalam usaha menonjolkan kegiatan rumah urut yang didakwanya berleluasa di negeri itu.

Pada Disember lepas, Jamal tampil di luar bangunan urusetia kerajaan Selangor dengan hanya bertuala sebagai tanda bantahan kepada gangguan bekalan air di Lembah Klang.

Demo tuala itu berlaku sebulan selepas beliau mempertikaikan kemewahan Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly dan membawa media menaiki helikopter meninjau rumah banglo yang didakwa milik Adam.

Jamal mungkin lepaskan semua jawatan Umno

Serbu kedai permainan video, Jamal direman 5 hari

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.