
Pengusaha kelapa, Ah Lan Abdullah, 50, berkata kelapa tua semakin sukar diperoleh kerana pokok kelapa diserang penyakit dan tambah teruk apabila pemborong memilih dalam membeli gred kelapa.
Katanya, apabila penanam kelapa terpaksa menanggung kerugian, mereka beralih kepada penanaman kelapa sawit dan mengutamakan jualan kelapa muda.
“Dari Oktober tahun lalu sehingga hari ini, kami berdepan masalah dengan pokok kelapa yang diserang penyakit. Kelapa tua atau muda semua tidak berbunga.
“Kelapa terkena penyakit, jadi pengeluarannya terhad. Biasanya 1 pokok kelapa setiap bulan boleh menghasilkan 15 biji, tetapi kini hanya 2 atau 3 biji saja. Maknanya, hilang 90% penghasilan bagi setiap pokok,” katanya ketika ditemui FMT semalam.
Media melaporkan masalah kenaikan harga kelapa dijangka berterusan menjelang sambutan Thaipusam pada Khamis ini susulan sikap segelintir orang tengah atau pemborong yang mengambil kesempatan mengenakan harga melampau.
Harga kelapa dilaporkan mengalami kenaikan sehingga 80 sen dan kini dijual RM2.20 sebiji berbanding RM1.60 sebelum ini.
Ah Lan yang mempunyai ladang kelapa seluas 7 ekar di Kuala Selangor berkata kelapa tua dikelaskan mengikut gred iaitu A, B, C dan D.
Katanya, ramai pengusaha tidak menjual kelapa tua lagi disebabkan pemborong hanya membeli kelapa gred A sehingga C tetapi mereka tidak mahu mengambil gred D kerana saiznya yang lebih kecil.
“Sebagai contoh, pemborong membeli kelapa tua gred A dari kebun pada harga RM1.20, tapi gred B dijual 70 sen, beza jumlahnya amat ketara. Gred D pula langsung pemborong tidak beli.
“Akibatnya penanam terpaksa menanggung kerugian dan kelapa tua gred D hanya dijadikan makanan ayam. Maka penanam beralih arah tanah kelapa sawit pula, lebih untung,” katanya yang menanam kelapa sejak 20 tahun lalu.
Sehubungan itu, katanya kebanyakan petani kini beralih arah menanam kelapa sawit kerana ia lebih mudah diuruskan dan upahnya kerjanya lebih senang.
“Di Kuala Selangor dan Tanjung Karang ini keseluruhannya menanam kelapa sawit. Jadi ini puncanya bekalan kelapa untuk santan berkurangan apalagi industri kelapa muda terlalu ‘laju’,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan petani juga kini lebih banyak menumpukan kepada industri kelapa muda yang semakin mendapat permintaan.
Katanya, kelapa muda semakin mendapat permintaan adalah kerana kerajaan juga banyak menumpukan kepada kebaikan kelapa muda.
“Kelapa muda di pasaran Lembah Klang harganya RM5 sebiji sementara di kampung harga kelapa muda RM3 sehingga RM3.50,” katanya.