BN jangan sentuh Pulau Pinang, Guan Eng beri amaran

BN jangan sentuh Pulau Pinang, Guan Eng beri amaran

Lim Guan Eng berkata, rakyat akan 'menentang kebencian dengan kasih sayang' bagi melindungi identiti Pulau Pinang sebagai sebuah negeri.

limguangeng-penang
GEORGE TOWN: Lim Guan Eng hari ini melancarkan kempen “Saya sayang Pulau Pinang” bagi menolak cadangan Barisan Nasional menjadikan negeri itu sebagai Wilayah Persekutuan.

Ketua menteri itu berkata, rakyat akan “menentang kebencian dengan kasih sayang” bagi melindungi identiti Pulau Pinang sebagai sebuah negeri.

Beliau juga menyeru penduduk negeri itu “beritahu mereka jangan sentuh Pulau Pinang”.

Lim berkata: “Pilihan raya akan datang sangat penting untuk memelihara dan memastikan kewujudan Pulau Pinang. Kami tidak akan (bertindak) terlalu agresif. Kami tidak akan menggunakan cara keji seperti orang lain. Apabila mereka menggunakan kebencian, kita akan menggunakan kasih sayang.

“Saya cadangkan kita melancarkan kempen di seluruh negeri untuk menunjukkan kita sayang Pulau Pinang, kita mahu Pulau Pinang terus hidup dan beritahu mereka jangan sentuh Pulau Pinang,” katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran DAP negeri di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Shang Wu, hari ini.

Setiausaha agung DAP itu berkata: “Mari kita lancarkan gerakan atau kempen ‘Saya sayang Pulau Pinang’. Anda sokong tak?”

Beliau kemudiannya menunjukkan isyarat tangan tanda cinta yang turut disokong hadirin dengan ada yang menirunya dan melaungkan “Saya sayang Pulau Pinang”.

Katanya, beliau akan memberi butiran lanjut dan membuat pengumuman rasmi mengenai kempen itu selepas kerajaan negeri membincangkan perkara itu untuk kelulusan.

“Kami akan beritahu BN yang kami sayang negeri kita. Bagi 1.6 juta penduduk, kami mempertahankan negeri ini dan tidak membiarkan Perlembagaan Persekutuan dicabuli.”

limguangeng-penang1

Lim berkata, cadangan menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan melanggar Perlembagaan yang jelas menyatakan Pulau Pinang adalah sebuah daripada 13 negeri di Malaysia.

“Tiada orang boleh mengubahnya…saya mahu beritahu BN jangan bermimpi. Tak mungkin Pulau Pinang akan setuju dengan cadangan itu. Pakatan tidak akan setuju.

“Mungkin BN Pulau Pinang akan setuju. Jika mereka memenangi negeri ini, mereka tidak akan melawan kerajaan persekutuan. Kemudian, tidak akan ada lagi negeri Pulau Pinang.

“Anda semua akan jadi ‘orang wilayah’. Sebuah persekutuan apa saya tak tahu.

“Apa akan jadi kepada ketua negeri, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang? Anda tidak akan ada ketua menteri, tiada exco negeri, wakil rakyat dan ahli majlis.

“Anda akan berada di bawah (pimpinan) seorang menteri, anda tiada hak untuk memilih,” katanya.

Cadangan menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan disuarakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada minggu lalu dalam satu temu bual radio.

Semalam, beliau mempertahankan cadangan itu dengan berkata, ia bertujuan membantu orang Melayu di Pulau Pinang yang diketepikan kerajaan pakatan pembangkang itu.

Lim berkata, dakwaan orang Melayu dipinggirkan di Pulau Pinang bersifat perkauman dan jika BN menggunakan alasan itu, mereka sepatutnya membantu negeri lebih miskin daripada Pulau Pinang.

“Jika itu adalah cara untuk membantu rakyat, seperti golongan miskin, bantulah negeri termiskin di Malaysia – Sabah, Kelantan dan Terengganu.

“Saya bukannya nak bercakap besar, tetapi bandingkan Pulau Pinang dengan negeri lebih miskin. Bukankah anda sepatutnya membantu mereka terlebih dahulu?” soalnya.

Lim berkata, sesebuah kawasan tidak semestinya dijadikan Wilayah Persekutuan untuk mendapat dana kerajaan persekutuan bagi tujuan pembangunan.

Katanya, Pulau Pinang ketika ini masih mempunyai dana persekutuan untuk projek pembangunan seperti tebatan banjir Sungai Pinang yang bernilai jutaan ringgit.

Selepas dimarahi, Ku Nan beri alasan tak berasas, kata Ramkarpal

Kerana P Pinang abai orang Melayu, kata Tengku Adnan

Cadangan ubah status Pulau Pinang, cubaan terdesak BN

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.