
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia susulan kes 3 kanak-kanak lemas di sebuah bekas lombong bauksit di Taman Sungai Karang Jaya, Kuantan, semalam.
“Saya berharap pengusaha lombong akan melaksanakan keperluan ini dan kementerian akan mencari satu pendekatan bagi mewajibkan semua pengusaha lombong untuk melaksanakan keperluan ini kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Junaidi berkata, beliau juga mengarahkan ketua pengarah Jabatan Mineral dan Geosains untuk menyiasat kewujudan bekas lombong sedemikian di Kuantan agar tindakan seterusnya dapat diambil dengan segera.
Katanya, kementerian memandang serius kes kematian 3 kanak-kanak tersebut dan berharap pihak bertanggungjawab, termasuk pemaju lombong mengambil tindakan sewajarnya dengan segera seperti yang dititahkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Dalam pada itu, Wan Junaidi mengingatkan semua lapisan masyarakat agar memberi perhatian serius mengenai isu tersebut, khususnya ibu bapa dalam memastikan keselamatan anak mereka.
Beliau juga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap insiden tersebut tidak berulang lagi.
Semalam, kerana ingin mengambil seluar terjatuh ke dalam kolam bekas lombong bauksit, 3 kanak-kanak termasuk 2 beradik mati lemas dalam kejadian di Taman Sungai Karang Jaya di Sungai Karang, Kuantan.
Mangsa ialah 2 beradik Salsabila Zuhairi, 12, dan adiknya Mahathir Mohamad, 7, serta rakan mereka, Nureen Ain Juwita Mohd Sharif, 10.